BATU PAHAT: Enam sekeluarga antara tujuh individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan terbabit dalam pergaduhan berpunca isu parkir kenderaan September lalu.
Baca juga: Kak Za Pasar tepis malu, cari rezeki di pasar borong
Siti Jumaidah Samsudin, 41; Mohamad Nor Hashim, 38; Norlaileasma Md Baharom, 44; Bitah A Kadir, 75; Aina Maisara Anuar, 19; Aina Aliesya, 20; serta seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama terbabit dalam pergaduhan di tempat awam di Kampung Parit Bilal, di sini, kira-kira jam 8.40 malam, 27 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan, pengadu yang juga salah seorang tertuduh, Siti Jumaidah, bertandang ke rumah adiknya sebelum berlaku perselisihan faham susulan tindakan pelanggan sebuah kedai makan meletakkan kenderaan di hadapan rumah adiknya.
Pada masa sama, beberapa individu dikenali datang ke rumah berkenaan dan tidak berpuas hati dengan adik tertuduh berhubung isu parkir itu.
Ketika pergaduhan berlaku, Siti Jumaidah didakwa dipukul dan ditarik menggunakan tangan sehingga menyebabkan mukanya cedera manakala tangan kirinya terseliuh.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.
Kejadian pergaduhan itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Siti Jumaidah diikat jamin RM1,000, manakala enam tertuduh lain masing-masing RM500.
Kes disebut semula pada 15 Januari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd