KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia melonjak 15.9 peratus kepada RM183.1 bilion pada September 2026, disokong pertumbuhan positif dalam tiga subsektor utama iaitu perdagangan borong, perdagangan runcit dan kenderaan bermotor, menurut
Baca juga: Kecederaan lutut rampas kegembiraan Sinner
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, peningkatan itu turut disertai pertumbuhan indeks volum perdagangan borong dan runcit sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun.
Katanya, perdagangan borong menjadi penyumbang utama pertumbuhan apabila merekodkan peningkatan jualan sebanyak 25.3 peratus atau RM17.9 bilion kepada RM89 bilion.
Sementara itu, perdagangan runcit mencatatkan nilai jualan RM73.7 bilion, meningkat 6.9 peratus atau RM4.7 bilion, manakala subsektor kenderaan bermotor berkembang 13.4 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM20.5 bilion.
“Perdagangan borong terus memacu pertumbuhan pada September 2026, meningkat 25.3 peratus, didorong terutamanya oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang merekodkan pertumbuhan 56.7 peratus kepada RM40.4 bilion.
“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG), sebahagiannya turut dipengaruhi oleh pergerakan harga pasaran, khususnya bagi produk berkaitan petroleum,” menurut DOSM dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jabatan itu berkata, jualan borong barangan isi rumah turut meningkat tujuh peratus kepada RM16.2 bilion, disokong permintaan terhadap produk farmaseutikal dan perubatan, barangan elektrik dan elektronik serta pakaian.
Selain itu, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat enam peratus, manakala jualan borong jentera, kelengkapan dan bekalan berkembang 11 peratus kepada RM6.6 bilion.
Mengulas prestasi perdagangan runcit, DOSM berkata, subsektor berkenaan terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.9 peratus kepada RM73.7 bilion pada September lalu.
“Prestasi ini diterajui oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 7.9 peratus kepada RM29.2 bilion, disokong peningkatan jualan lebih tinggi di pasar raya dan pasar mini.
“Jualan runcit barangan lain di kedai pengkhususan pula meningkat enam peratus kepada RM15.1 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan serta pewangi dan kosmetik,” katanya.
Pada masa sama, jualan runcit bahan api kenderaan di kedai pengkhususan berkembang 10.6 peratus, manakala jualan runcit kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi meningkat 6.8 peratus.
DOSM menjelaskan, bagi subsektor kenderaan bermotor, DOSM berkata, peningkatan 13.4 peratus pada September 2026 disokong terutamanya oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 17.3 peratus kepada RM10.1 bilion.
“Pertumbuhan turut disokong oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta komponen dan aksesori berkaitan yang meningkat 33 peratus.
“Jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor pula berkembang 6.9 peratus, manakala penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat 6.1 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, indeks jualan runcit dalam talian mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus tahun ke tahun pada September 2026, sedikit perlahan berbanding peningkatan 6.7 peratus pada Ogos lalu.
Dari segi indeks volum, sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan 5.5 peratus tahun ke tahun, dipacu subsektor kenderaan bermotor yang berkembang 12.1 peratus.
Pertumbuhan itu diikuti perdagangan borong sebanyak 5.5 peratus dan perdagangan runcit 4.2 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 2.5 peratus pada September 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd