HANG TUAH JAYA – Perbezaan fahaman politik bukan penghalang untuk MCA, Pas dan Datuk Seri Hamzah Zainudin bekerjasama dalam isu membabitkan kepentingan rakyat, termasuk penentangan terhadap peruntukan tidak adil dalam cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendirian bersama dalam isu berkenaan membuktikan ahli politik daripada parti berbeza masih boleh mencari titik persamaan tanpa perlu mengetepikan prinsip masing-masing.Menurutnya, ahli politik tidak seharusnya menganggap perbezaan parti atau kedudukan sebagai kerajaan dan pembangkang sebagai alasan untuk saling bermusuhan.”Tidak kira sama ada kita berada dalam kerajaan atau pembangkang, itu tidak bermakna kita perlu bergaduh sesama sendiri.”Jika sesuatu isu itu betul untuk rakyat, kita perjuangkannya,” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) di Bukit Katil pada Khamis.Ka Siong berkata, MCA, Pas dan Hamzah yang ketika itu bersama Bersatu pernah mengambil pendirian sama dalam membantah beberapa peruntukan cadangan undang-undang berkenaan yang didakwa boleh menjejaskan hak pemilik hartanah.Katanya, isu itu tidak seharusnya dilihat dari sudut kepentingan kaum tertentu sahaja kerana pelaksanaan pembangunan semula bandar boleh memberi kesan kepada pemilik hartanah Melayu, Cina dan India.”Lebih 70 persatuan penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan undang-undang itu yang merugikan mereka.”Kesannya rakyat akan tinggal dalam sesak seperti setinggan ditambah dengan kesesakan lalu lintas yang teruk,” ujarnya.Beliau turut mengulas penyebaran sebuah video janaan kecerdasan buatan (AI) di media sosial yang memaparkan dirinya memakai kopiah dan pakaian hijau bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.”Bagi saya, saya tidak kisah bagaimana orang mahu menggambarkan diri saya. Ini soal tanggungjawab,” katanya.Pada masa sama, Ka Siong turut menafikan pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri.Tambahnya, MCA sentiasa terbuka untuk berunding dengan ahli politik daripada pelbagai latar belakang bagi mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu.”MCA bukan parti eksklusif. Kami adalah ejen muafakat.”Apa juga masalah yang kita hadapi, kita berbincang dan mencari penyelesaian menerusi semangat rundingan,” katanya.Beliau berkata, komitmen MCA untuk berkhidmat kepada rakyat juga tidak terhad kepada mana-mana kaum, malah manifesto parti itu dirangka bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia.”Melaka perlu kestabilan politik berterusan dan gelombang biru akan bawa rakyat hidup senang dan mendapat pembelaan sebaik-baiknya. Jangan hanya cakap lain tetapi akhirnya akan menyusahkan rakyat.”Menerusi enam teras dan 113 inisiatif Muafakat Melaka, kita minta rakyat rapatkan saf bagi sokongan kepada biru,” katanya.
PRN Melaka: MCA, Pas boleh sepakat demi kepentingan rakyat – Ka Siong
Malay News | https://www.malay.news/prn-melaka-mca-pas-boleh-sepakat-demi-kepentingan-rakyat-ka-siong/