TAIPING: Sebanyak 162 koleksi permainan tradisional dan moden Jepun dipamerkan di Muzium Perak, di sini menerusi Pameran Omocha Mainan Jepun Masa Kini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pameran tersebut dianjurkan sebagai simbolik kepada hubungan akrab antara Malaysia dengan negara matahari terbit itu yang terbina sekian lama.
Baca juga: Kerjasama BN-PN mesti tolak rasuah, tak gadai prinsip babitkan dosa – Tuan Ibrahim
“Permainan dipilih sebagai medium diplomasi kerana mampu menarik minat kanak-kanak selain mengasah minda dan memberikan nilai pembelajaran melalui aktiviti bermain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Omocha Mainan Jepun Masa Kini, di sini, semalam yang turut hadir,Konsulat Kedutaan Jepun Masamori kobayashi.
Haslina berkata, Muzium Perak yang merupakan muzium tertua di Malaysia dipilih kerana mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri selain kedudukannya yang strategik untuk dikunjungi masyarakat dari pelbagai negeri.
Katanya, pameran yang bermula 1 November lalu dan berakhir 13 Disember depan itu sudah menarik hampir 10,000 pengunjung dan disasarkan mampu melebihi 20,000 orang sepanjang tempoh penganjurannya.
Jelas Haslina, sebelum ini Malaysia dan Jepun pernah mengadakan pameran berkaitan budaya serta boneka tradisional Jepun di Muzium Negara pada 2024.
“Insya-Allah, kita juga merancang meneruskan penganjuran pameran bersama pihak Jepun tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah The Japan Foundation, Kuala Lumpur, Tsukamoto Norihisa berkata, koleksi Kamen Rider dan Ultraman antara tarikan utama pameran berkenaan kerana kedua-duanya cukup dikenali dalam kalangan peminat budaya popular Jepun. – UTUSAN
The post 162 koleksi permainan tradisional, moden Jepun dipamerkan appeared first on Utusan Malaysia.