LATEST

‘Marquez setaraf Senna’ – Lorenzo

‘Marquez setaraf Senna’ – Lorenzo

Milan: Juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo menyamakan Marc Marquez dengan dua bintang Formula Satu (F1), Ayrton Senna dan Max Verstappen susulan prestasi cemerlang pelumba itu sepanjang musim 2026.

Baca juga: Polis cari 3 lelaki pukul pemandu bas di Terminal Bas Larkin

Kesilapan Marco Bezzecchi dan kecederaan yang menimpa Jorge Martin, dua pelumba pasukan pengeluar Aprilia, secara tidak langsung memudahkan laluan Marquez untuk memburu gelaran dunia ke-10.

Situasi itu berlaku meskipun pelumba Ducati berkenaan terpaksa melakukan kebangkitan luar biasa selepas menjalani pembedahan pada Mei lalu, apabila pernah ketinggalan 102 mata di belakang Bezzecchi yang ketika itu mendahului kedudukan kejuaraan dunia.

Memenangi tujuh daripada 11 perlumbaan terakhir, Marquez merampas semula kedudukan pendahulu kejuaraan di Australia apabila memberikan tekanan hebat kepada Martin yang ketika itu berada di tangga teratas.

Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu kemudian terbabit dalam kemalangan sehingga mengalami keretakan tulang radius pada tangan kanannya dan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan berkenaan.

“Kemalangan Martin memang mengecewakan kerana kita sebenarnya berpeluang menyaksikan penamat musim yang luar biasa dengan perbezaan mata yang sangat rapat. Aprilia, Ducati, Marquez dan Martin semuanya cukup kompetitif.

“Namun, itulah perlumbaan. Ada kalanya nasib malang atau beberapa keputusan yang salah boleh merosakkan peluang seseorang dalam kejuaraan. Itulah yang berlaku kepada Martin apabila kemalangannya membuka ruang buat Marc untuk memenangi gelaran dunia ke-10,” kata Lorenzo kepada GPOne ketika Pameran Motosikal Milan, baru-baru ini.

Lorenzo menghabiskan sembilan musim bersama Yamaha dan dua musim bersama Ducati dengan mencatat 47 kemenangan kelas premier sebelum menamatkan karier bersama Honda pada 2019.

Di Honda, dia pernah menjadi rakan sepasukan Marquez ketika pelumba itu melalui antara tempoh paling dominan dalam saingan MotoGP.

“Marquez tetap Marquez. Dia ialah Ayrton Senna dalam dunia permotoran motosikal dan Max Verstappen dalam MotoGP,” kata Lorenzo.

“Dari segi teknikal, dia berada pada tahap berbeza. Sebaik sahaja dia mendapat motosikal terbaik di grid, dia terus menunjukkan kelebihan berbanding pelumba lain.”

Walaupun kecederaan memberi kesan besar terhadap karier Marquez sehingga memaksanya mengubah gaya tunggangan dan pendekatan ketika menghadapi hujung minggu perlumbaan Grand Prix, Lorenzo percaya pelumba itu masih yang terbaik dari segi teknikal.

“Sejak menyertai MotoGP, dia melakukan perkara yang tidak mampu dilakukan pelumba lain. Walaupun keadaan lengannya masih seperti yang kita sedia maklum, dia tetap mampu mencipta perbezaan,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news