puterialia@hmetro.com.my
Baca juga: Najib tak boleh guna internet, media sosial! Langgar syarat? Terus balik penjara – Fahmi
Petaling Jaya : Berhasrat untuk bertanding di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM), penyanyi, Yuna tidak menolak kemungkinan untuk mempertaruhkan karya terbaharunya iaitu album Senjata.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 40, berkata, album yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia itu wajar untuk dipertandingkan dalam anugerah berprestij itu.
“Insya-Allah, ini adalah album sepenuhnya buatan Malaysia, saya rasa wajar kita bertanding di AJL termasuk di pentas AIM.
“Bahagian yang paling menyeronokkan tentang AJL adalah diberikan sebuah pentas dan kebebasan kreatif untuk melakukan apa sahaja di serta cara kita mempersembahkan lagu tersebut.
“Jadi, saya sudah beritahu pasukan saya, kalau masuk AJL, saya nak ada kapal lanun (pirate ship) di atas pentas,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran album Senjata, di sini, semalam.
Pelantun lagu Dan Sebenarnya ini turut berkata, penyertaannya dalam sesebuah pertandingan bergantung kepada peluang yang ada memandangkan ia memerlukan masa dan peruntukan kewangan yang banyak.
“Sebenarnya bergantung pada peluang sebab semua benda ini memakan masa dan bajet. Saya pun bergerak sendiri.
“Kalau ada sokongan dan peluang, kenapa tidak sebab saya pun buat lagu ini bukan seorang. Saya buat dengan pasukan saya dan mereka nak tengok saya masuk AJL.
“Saya pun okey dan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya lakukan untuk peminat juga, saya terhutang budi dengan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yuna yang bergerak secara sendiri ini berharap agar naskhah yang dihasilkannya itu mendapat sambutan kerana ia adalah karya yang paling dekat dengan hatinya.
“Saya rasa lagu Senjata, buat masa sekarang apa yang paling kuat dalam hati saya dan benar-benar saya mahu kongsikan kreativiti saya menerusi lagu Senjata.
“Saya rasa lagu itu pun ramai orang akan suka daripada pelbagai generasi.
“Daripada mak cik-mak cik sampailah generasi muda. Mereka akan menghargai Senjata,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Yuna tampil mempertaruhkan album Senjata yang memuatkan tujuh buat lagu.
Antara naskhah yang dihasilkan adalah Senjata, Lena, Tinggi Rendah Langit, Intuisi, Rockstar, Siren dan karya bahasa Inggeris, Turn Back Time.
Album terbitan Yuna Room Records berkenaan mencerminkan hala tuju penyanyi itu dengan beberapa kolaborasi penerbit dan penulis lagu tempatan seperti Anas Amdan, Aizat Amdan dan Raja Nazrin Shah (SOG).
© New Straits Times Press (M) Bhd