INSTITUSI pondok ialah warisan penting pendidikan Islam di Malaysia. Sejak berabad-abad lalu, institusi ini melahirkan ulama, pendakwah dan pendidik yang menjadi rujukan masyarakat.
Kekuatan pondok terletak pada pengajian kitab turath, penguasaan bahasa Arab, tradisi talaqqi serta hubungan rapat antara guru dengan murid. Tradisi ini turut membentuk akhlak dan adab.
Baca juga: ‘Bubar Parlimen, beri mandat baharu’ – Tuan Ibrahim
Namun, perubahan keperluan masyarakat, kemajuan teknologi dan perkembangan pendidikan moden menuntut institusi pondok memperkukuh peranannya tanpa kehilangan identiti. Pembaharuan perlu memelihara tradisi sambil membuka peluang pendidikan dan kerjaya.
Kerajaan menyokong usaha ini melalui pengiktirafan kelayakan, pembangunan prasarana dan pendigitalan.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan pemerkasaan pondok perlu mengekalkan identiti, kekuatan tradisi dan hubungan guru dengan murid.
Pengajian kitab dalam bidang akidah, tafsir, hadis, fiqh, tasawuf dan bahasa Arab perlu kekal sebagai teras. Pelajar juga perlu menghubungkan warisan ilmu dengan isu semasa secara berhikmah.
Penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2027 membuka ruang memperluas jaringan keilmuan.
Penglibatan ulama tempatan dan antarabangsa, termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi, berpotensi memberikan panduan dalam pemeliharaan turath serta pembangunan tenaga pengajar. Keberkesanannya bergantung pada tindakan yang mengambil kira kepelbagaian pondok.
Pengenalan Sijil Turath Malaysia pula berpotensi membuka laluan pendidikan lanjutan dan kerjaya kepada lepasan pondok. Penilaian perlu mengambil kira keupayaan membaca kitab tanpa harakat, menghuraikan teks, memahami perbezaan pandangan ulama dan menyampaikan ilmu.
Pengiktirafan sewajarnya menghubungkan pendidikan tradisional dengan peluang formal tanpa mengetepikan keistimewaannya.
Peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah pondok, sekolah agama serta institusi tahfiz meningkat daripada RM150 juta kepada RM200 juta. Kerajaan turut meningkatkan peruntukan keseluruhan hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027. Wakaf, sedekah dan tajaan turut boleh menyokong kelestarian pondok.
Kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menyediakan peranti serta latihan digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok turut membuka peluang baharu.
Sementara kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi alat sokongan, namun tidak boleh menggantikan bimbingan ulama dan semakan sumber berautoriti.
Pemilihan beberapa pondok sebagai institusi model boleh membantu meningkatkan mutu pengurusan, prasarana dan pengajaran secara berperingkat. Pelaksanaannya perlu menghormati perbezaan manhaj dan kaedah pengajian, bukan memaksa penyeragaman.
Kerjasama dengan universiti pula boleh menggabungkan kepakaran penyelidikan dan teknologi pendidikan dengan kekuatan pondok dalam pengajian turath serta pembentukan adab.
Bidang seperti pendokumentasian manuskrip, penterjemahan karya ulama, pembangunan modul bahasa Arab dan latihan pedagogi boleh diterokai. Pendedahan kepada komunikasi, pengurusan, keusahawanan dan literasi digital pula dapat meluaskan peluang kerjaya.
Institusi pondok juga perlu terus berperanan sebagai pusat rujukan agama dan pembinaan masyarakat. Pengajian yang menekankan ketelitian memahami sumber serta menghormati perbezaan pandangan ulama dapat membantu melahirkan masyarakat yang matang.
Oleh itu, pembangunan tidak seharusnya diukur melalui jumlah kemudahan atau sijil semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kualiti pengajaran, kemampuan guru dan manfaat ilmu kepada masyarakat setempat.
Inilah asas memastikan pondok kekal relevan tanpa kehilangan jati diri.
Pemerkasaan institusi pondok bergantung pada pelaksanaan dasar, ketelusan bantuan dan kemampuan mengekalkan mutu pengajian.
Pembaharuan perlu memperkukuh warisan, bukan menghapuskannya. Tradisi talaqqi, penguasaan kitab dan pembentukan adab mesti terus menjadi asas agar institusi pondok mampu berkembang sebagai pusat ilmu yang relevan serta menyumbang kepada masyarakat. –UTUSAN
PROFESOR DR. ROSNI SAMAH
Felo Akademik Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
The post Institusi pondok kekal relevan tanpa hilang jati diri appeared first on Utusan Malaysia.