London: Harry Kane berikrar akan terus menyarung jersi England selagi termampu selepas mencipta rekod penampilan ke-126 bersama skuad Three Lions ketika menentang Croatia, awal pagi tadi.
Baca juga: Kane bantu England lolos ke suku akhir
Kapten England itu menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukan kendalian Thomas Tuchel menang 2-1 di Wembley sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara pada Mac depan.
Pemain berusia 33 tahun yang memenangi anugerah Ballon d’Or bulan lalu itu kini mengatasi bekas penjaga gol, Peter Shilton, yang mencatat 125 penampilan sepanjang kariernya.
Shilton turut menyertai majlis penghormatan sebelum perlawanan bagi meraikan kapten Three Lions itu bersama penaung Persatuan Bolasepak England (FA), Putera William.
Sepanduk gergasi yang memaparkan gambar Kane dengan tulisan ‘England’s Finest’ turut dinaikkan sebelum sepak mula.
Kapten England itu yang mempamerkan trofi Ballon d’Or kepada penyokong di Wembley sebelum perlawanan menyifatkan detik berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Saya cuba bertenang dan tidak terlalu banyak tersenyum atau menunjukkan emosi. Sudah tentu saya cuba kekal fokus terhadap tugas.
“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya sudah benar-benar menghayati semua pencapaian ini. Mungkin ketika cuti rehat musim sejuk nanti apabila saya mempunyai beberapa minggu untuk berehat.
“Saya mungkin berada di suatu pantai dan cuba mengimbas kembali segala yang sudah saya capai kerana pencapaian ini mungkin yang terbesar dalam karier saya,” katanya.
Penyerang Bayern Munich itu berkata, dia turut mendapat inspirasi daripada bekas kapten Croatia, Luka Modric, 41, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan di Wembley.
“Dia memberi inspirasi kepada saya untuk terus melangkaui batas kemampuan. Seperti dirinya, saya fikir kita perlu terus bermain untuk melihat sejauh mana kemampuan fizikal dan mental kita mampu bertahan.
“Perjalanan setiap pemain berbeza, tetapi selagi saya merasakan mampu membantu pasukan kebangsaan dan masih beraksi pada tahap tertinggi, saya akan terus berada di sini selagi termampu.
“Sama ada sehingga usia 40 tahun atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat. Namun buat masa ini, saya menikmati setiap detik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd