LATEST

Mirra benam Aryna, mara ke separuh akhir

Mirra benam Aryna, mara ke separuh akhir

Indian Wells: Pemain pilihan ketiga, Mirra Andreeva melangkah ke separuh akhir Jelajah Akhir WTA selepas menampilkan aksi luar biasa untuk menewaskan pilihan kedua dari Belarus, Aryna Sabalenka 6-4, 6-0.

Baca juga: ‘Takutnya…dia buat apa di luar sekolah’

Pemain berusia 19 tahun dari Rusia itu bangkit selepas ketinggalan 1-4 pada set pertama sebelum memenangi 11 permainan berturut-turut untuk melengkapkan kemenangan dalam tempoh hanya 62 minit.

Aryna pada awalnya dilihat menguasai perlawanan selepas mematahkan servis Mirra untuk mendahului 4-1, namun lawannya itu segera mengubah rentak permainan.

Mirra memenangi 20 daripada 23 mata berikutnya untuk meraih set pertama sebelum membenam Aryna tanpa balasan pada set kedua.

Juara Terbuka Perancis itu turut menguasai 45 daripada 55 mata terakhir, selain menghasilkan 16 pukulan kemenangan berbanding hanya enam kesilapan sendiri.

Kemenangan itu membolehkan Mirra mengekalkan rekod tanpa kalah selepas dua perlawanan Kumpulan 2 dan mengesahkan kedudukan teratas kumpulan biarpun masih berbaki satu aksi peringkat round robin.

“Saya lebih gembira berbanding selepas perlawanan pertama. Saya rasa seperti mampu bermain dua lagi perlawanan.

“Saya mempunyai begitu banyak tenaga. Saya sangat bersemangat dan gembira,” katanya.

Mirra turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda mara ke separuh akhir Jelajah Akhir WTA sejak Caroline Wozniacki melakukannya pada 2009.

Lebih menarik, dia menjadi pemain pertama yang menghasilkan kemenangan satu set 6-0 dalam setiap dua perlawanan pertamanya pada kejohanan itu selepas turut menewaskan pilihan keenam, Elina Svitolina dengan keputusan sama pada aksi pembukaan.

Sementara itu, Elina menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas bangkit menewaskan pilihan ketujuh dari Republik Czech, Karolina Muchova 3-6, 6-2, 6-2.

Kemenangan itu menamatkan rekod sempurna Karolina musim ini apabila memenangi set pertama, selepas sebelum ini mencatat 32 kemenangan daripada 32 perlawanan dalam situasi berkenaan.

Arya yang kini mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan akan berdepan Elina bagi merebut satu lagi slot separuh akhir Kumpulan 2, manakala Karolina tersingkir daripada perebutan tempat ke kelompok empat terbaik selepas kekalahan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news