am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Yang sakau kamu tak marah, cium tangan lagi’ – PM
Bukit Mertajam: Seorang wanita warga emas terpaksa diusung turun oleh pasukan bomba selepas ditemui tidak sedarkan diri akibat disengat lebah ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Sungai Lembu, di sini, petang Khamis.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 72 tahun ditemui oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan bukit berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang memaklumkan seorang pendaki wanita disengat lebah ketika berada di dalam kawasan hutan.
“Seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 5.04 petang selepas berdepan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR dijalankan dengan bantuan individu yang berada di sekitar bukit bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Mangsa berjaya ditemui pada jam 6.40 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba kemudian membawa mangsa turun ke kaki bukit sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bantuan Kecemasan Bukit Mertajam (PBK Bukit Mertajam) untuk dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
John Sagun berkata, operasi turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PBK Bukit Mertajam.
© New Straits Times Press (M) Bhd