am@hmetro.com.my
Baca juga: Agnes pilih Valencia untuk debut maraton
Alor Gajah: Calon Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak bersikap sombong terhadap rakyat jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemenangan pilihan raya bukan lesen untuk wakil rakyat bertindak sesuka hati, sebaliknya menuntut komitmen berterusan dalam menyelesaikan masalah penduduk.
“Saya nak bagi amaran kepada calon-calon kita. Mudah-mudahan mereka menang. Amarannya apa? Kamu kerja dan khidmat dengan ikhlas. Jangan sombong, jangan lupa jam 5 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Melaka, Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, parti itu akan menetapkan kaedah kerja bagi memastikan calon yang dipilih terus menjalankan tanggungjawab selepas mendapat mandat rakyat.
Menurutnya, prestasi wakil rakyat perlu dipantau bagi mengelakkan mereka mengabaikan amanah yang diberikan pengundi.
“Kita percaya keupayaan mereka, tetapi kita akan tetap pantau mereka. Dan ini akan saya perbaiki,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin supaya menggunakan peluang ketika memegang kuasa untuk melaksanakan perubahan, bukannya hanya menyuarakan kritikan selepas kehilangan jawatan.
Anwar berkata, keutamaan wakil rakyat mestilah membela golongan berpendapatan rendah serta memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberikan perhatian.
© New Straits Times Press (M) Bhd