Singapura: Alice Huang, wanita yang didakwa menjadi perisik China dan dikaitkan dengan skandal membabitkan pengeluar cip Nvidia, meninggalkan Singapura pada Februari lalu sebelum dilarang memasuki semula negara itu susulan siasatan berhubung kemungkinan melakukan kesalahan.
Baca juga: Bekas Pengarah UKMShape didakwa lagi, kali ini 21 tuduhan ubah wang haram RM1.55 juta
Ia selepas siasatan berhubung kemungkinan melakukan kesalahan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura pada Khamis.
Nvidia pada Khamis mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang meletakkan jawatan ketika tekanan terhadapnya semakin meningkat sejak beberapa hari lalu susulan laporan bahawa lelaki berusia 63 tahun yang sudah berkahwin itu menjalin hubungan sulit dengan Alice Huang, yang disyaki pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menjadi perisik Beijing.
Kementerian itu berkata, Alice Huang, bekas eksekutif syarikat Megaspeed yang merupakan pelanggan Nvidia, disiasat berhubung kemungkinan melakukan beberapa kesalahan, termasuk membeli pelayan komputer (server) yang dieksport melalui Singapura ke Malaysia tanpa memasuki pasaran negara itu.
Beliau disiasat berikutan disyaki terbabit dalam kemungkinan kesalahan di Singapura, berdasarkan kedudukannya ketika itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengerusi dan salah seorang individu utama yang mengawal Megaspeed, menurut kenyataan kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan siasatan berkenaan tidak membabitkan kegiatan pengintipan.
Kementerian itu berkata, bukti yang diperoleh tidak mencukupi untuk membuktikan Alice Huang melakukan sebarang kesalahan.
Namun, beliau didapati memberikan maklumat kepada polis yang diketahuinya tidak tepat sepanjang siasatan serta memperkecilkan peranannya dalam Megaspeed.
Beliau kemudian diberikan amaran keras dan dilarang memasuki semula Singapura, menurut kementerian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd