LATEST
National

Bekas Pengarah UKMShape didakwa lagi, kali ini 21 tuduhan ubah wang haram RM1.55 juta

Bekas Pengarah UKMShape didakwa lagi, kali ini 21 tuduhan ubah wang haram RM1.55 juta

SHAH ALAM: Bekas Pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai keseluruhan lebih RM1.55 juta.

Baca juga: Ruang Nyaman Fest tawar pengalaman muzik premium

Datuk Dr Muhammad Husin, 64, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Ini kali kedua Muhammad dituduh selepas pertuduhan bulan lalu membabitkan kesalahan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bernilai keseluruhan RM3.12 juta, empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan hari ini, tertuduh didakwa terbabit dalam 21 transaksi pengubahan wang haram itu antara 2022 hingga 2026.

Semua wang terbabit didakwa hasil daripada kesalahan menggunakan kedudukan ketika berkhidmat sebagai Pengarah UKMShape, untuk kepentingan serta pembelian aset peribadi.

Kesalahan asal dikaitkan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semua pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Adam Danial daripada Tetuan A M Zaharil & Co.

Mahkamah mengambil kira jaminan RM80,000 serta syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news