Kuala Lumpur: Semua agensi berkaitan di Selangor diarahkan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan mempercepat kerja pembersihan saliran tersumbat sebagai langkah mengekang risiko banjir berulang di negeri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata agensi berkaitan juga diarah untuk memperkukuh pemantauan paras air dan sistem amaran awal, selain memastikan projek tebatan banjir dilaksanakan mengikut perancangan.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata beliau menegaskan arahan itu sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor hari ini, yang turut memberikan penekanan serius terhadap penyelenggaraan infrastruktur air secara menyeluruh.
“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor, saya menegaskan kepentingan penyelenggaraan sungai, parit dan sistem saliran, termasuk kolam tadahan serta pintu air, bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik,” kata beliau dalam catatan itu.
Selain aspek teknikal dan tebatan banjir, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat khas tersebut turut meneliti keperluan mangsa banjir, khususnya urusan pemindahan, penempatan sementara, bekalan keperluan asas dan bantuan kepada keluarga terjejas.
“Keselamatan penduduk, penyampaian bantuan dan pelaksanaan langkah mitigasi mesti terus menjadi keutamaan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd