LATEST

Kapal persiaran ikonik AS jadi terumbu karang terbesar dunia

Kapal persiaran ikonik AS jadi terumbu karang terbesar dunia

MIAMI: Sebuah kapal persiaran ikonik abad ke-20 yang pernah membawa kerabat diraja, bintang filem ternama serta lukisan terkenal Mona Lisa ke Amerika Syarikat (AS) ditenggelamkan untuk dijadikan terumbu karang buatan terbesar di dunia.

Pasukan pakar menjalankan proses membanjiri kapal sepanjang 302 meter itu secara terkawal sebelum ia ‘bersemadi’ di dasar berpasir Teluk Mexico, kira-kira 40 kilometer di barat daya Destin-Fort Walton Beach, Florida.

Baca juga: Identiti kampung Melayu mahu dipelihara, DBKL teliti pengezonan Sungai Penchala

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan proses itu bermula sebaik dua injap utama kapal berkenaan dibuka yang turut disiarkan secara langsung menerusi strim rasmi bandar raya terbabit.

Daerah Okaloosa di Florida mengambil langkah strategik membeli kapal SS United States yang telah lama dilucutkan tauliah itu daripada sebuah kumpulan pemuliharaan pada harga AS$1 juta (RM4.08 juta) pada tahun 2024 demi merancakkan sektor pelancongan selaman serta memancing.

Kapal yang lebih panjang berbanding Titanic serta pemegang rekod kelajuan merentasi Lautan Atlantik itu bakal menjadi tarikan utama di taman dasar laut Okaloosa yang turut menempatkan bangkai kapal Perang Dunia Kedua.

Ketua projek pengubahsuaian daripada syarikat maritim Coleen Marine, Kapten Tim Mullane menyifatkan usaha memberi kehidupan kedua kepada kapal megah itu sebagai satu penghormatan besar bagi memulihara ekosistem marin.

Keseluruhan proses pembersihan selama setahun termasuk membuang bahan toksik seperti bahan api, cat dan pendawaian, kerja menunda, pemulihan alam sekitar serta jaminan keselamatan menelan kos sekitar AS$13.5 juta (RM55.12 juta).

Memulakan pelayaran sulungnya pada tahun 1952, SS United States pernah menjadi lambang kejuruteraan maritim AS dengan membawa tokoh ternama seperti bekas Presiden, John F. Kennedy, Bill Clinton, Grace Kelly, Elizabeth Taylor serta lukisan karya Leonardo da Vinci pada tahun 1963.

Bagaimanapun, peningkatan populariti pengangkutan udara menyebabkan perkhidmatan kapal mewah itu ditamatkan dalam tempoh dua dekad dan ia dibiarkan berlabuh di Philadelphia selama 29 tahun.

Walaupun bangkai kapal itu akan berada pada kedalaman 55 meter, bahagian dek atasnya hanya terletak kira-kira 16.7 meter dari permukaan air, sekali gus memudahkan akses kepada penyelam peringkat permulaan.

Pengarah Pelancongan Daerah Okaloosa, Jennifer Adams Kemp menegaskan langkah mengitar semula kapal kebanggaan negara itu bukan sahaja memelihara warisan sejarahnya, malah mengatasi rekod terumbu karang buatan terdahulu yang dipegang sebuah kapal pengangkut pesawat di Pensacola sejak 20 tahun lalu. -AFP

The post Kapal persiaran ikonik AS jadi terumbu karang terbesar dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news