am@hmetro.com.my
Baca juga: ShopeeFood Tawar 99% OFF & Free Delivery Untung Pengguna Kali Pertama. Rugi Kalau Tak Guna!
Kuala Lumpur: Dalam keadaan menahan kesakitan selepas diserang lelaki bersenjatakan parang, seorang anggota polis masih sempat memberi amaran kepada orang awam supaya segera meninggalkan kawasan kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, malam semalam.
Detik menyentuh hati itu dikongsikan seorang pengguna Threads menerusi akaun skchau1985 yang mendakwa merakam keadaan di lokasi kejadian membabitkan anggota polis berkenaan.
Menurut individu itu, anggota polis terbabit yang sedang menahan kesakitan masih sempat memberi amaran supaya segera meninggalkan kawasan berkenaan kerana keadaan berbahaya.
“Saya kesakitan. Di sini berbahaya, cepat pergi,” menurut perkongsian individu itu yang memetik kata-kata anggota polis berkenaan.
Pemilik akaun itu turut meluahkan rasa sedih dan tersentuh selepas menyaksikan keadaan anggota polis terbabit.
“Berita itu tersebar di mana-mana sepanjang malam. Ini adalah rakaman yang saya buat.
“Saya tersentuh dan patah hati. . Saya harap anda selamat,” tulisnya.
Perkongsian itu turut disertakan rakaman video yang memaparkan anggota polis berkenaan sedang menerima rawatan awal daripada petugas ambulans di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam semalam, Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri.
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu pada mulanya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini mengesahkan pembedahan penyambungan semula tangan anggota polis berkenaan berjaya disempurnakan selepas prosedur selama lapan jam.
Suspek yang dipercayai warga asing pula meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba ditahan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari lokasi serangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd