LATEST

Mayat wanita tanpa pakaian ditemui terapung di Sungai Petani

Mayat wanita tanpa pakaian ditemui terapung di Sungai Petani

am@hmetro.com.my

Baca juga: “Buktikanlah Kalau Itu Hutang Saya” 

Sungai Petani: Mayat individu disyaki wanita yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung dan tanpa pakaian di kawasan sungai belakang sebuah pusat beli belah, Pekan Lama, di sini, hari ini.

Mayat berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh kira-kira 48 jam berdasarkan keadaan fizikal yang sudah menunjukkan proses pereputan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada 1.30 tengah hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan terapung dan tidak berpakaian, namun tiada ikatan pada kedua-dua tangan.

“Setakat ini, kita membuka kertas siasatan sebagai kes mati mengejut (SDR), sementara menunggu hasil bedah siasat yang akan dijalankan esok.

“Kita belum dapat mengenal pasti identiti, umur sebenar mahu pun bangsa mangsa berikutan keadaan mayat yang sudah mengalami proses pereputan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan secara luaran juga tidak dapat mengesan sebarang kecederaan dengan jelas dan pihaknya perlu menunggu hasil bedah siasat bagi menentukan punca kematian serta sama ada terdapat unsur jenayah.

Katanya, mayat berkenaan sudah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, kita ada menerima laporan kehilangan orang, namun kita akan membuat semakan lanjut di daerah Kuala Muda serta daerah berhampiran bagi mengenal pasti sama ada terdapat laporan kehilangan wanita yang mempunyai ciri-ciri sepadan.

“Kita menganggarkan mangsa berusia lingkungan 30-an ke atas, namun perkara itu masih belum dapat disahkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, khususnya wanita, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan proses pengecaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news