MELAKA: Kepulangan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani tahanan rumah memberi kelegaan dan kegembiraan kepada bekas Perdana Menteri itu selepas empat tahun terpisah daripada keluarga.
Baca juga: JPV rampas 20 lembu cuba dipindah tanpa dokumen sah
Perkara itu dinyatakan anaknya, Nooryana Najwa Najib, yang mengakui bapanya jelas lega sebaik menjejakkan kaki ke rumah, selain gembira dapat kembali bertemu isteri dan ahli keluarga lain selepas lama berjauhan.
“Saya sempat bertemu dengan beliau pada Selasa malam. Selepas itu saya ke Melaka, tetapi kita amat bersyukur kerana keluarga dapat berjumpa dengan beliau.
“Beliau lega sebaik tiba di rumah kerana sudah menghadapi pelbagai tekanan emosi dan mental sepanjang empat tahun berpisah daripada keluarga.
“Apabila sampai di rumah, beliau berasa lega dan gembira dapat berjumpa keluarga,” katanya ketika ditemui di Command Centre Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib sudah dibayar pada Jumaat lalu, sekali gus memenuhi syarat pembayaran dalam pengampunan bersyarat berkenaan.
Bekas Presiden UMNO itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Sementara itu, Nooryana Najwa yang juga Ketua Penerangan Puteri UMNO berkata, keluarganya akur dan menghormati semua syarat yang ditetapkan pihak penjara berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bapanya.
“Kami sekeluarga amat bersyukur kerana Datuk Seri Najib pulang ke rumah dan sudah memulakan proses tahanan rumah. Beliau tiba dalam keadaan selamat dan sihat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kami semua kepada pihak penjara yang menjaga beliau dengan baik.
“Kami akur dan hormat dengan syarat yang dibentangkan kerana bagi kami, asalkan Datuk Seri Najib berada dalam keadaan dan suasana yang selamat di rumah,” katanya.
Mengulas perkembangan politik di Melaka, Nooryana Najwa berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dalam aspek calon muda kerana menampilkan golongan itu yang mempunyai pengalaman, rekod perkhidmatan dan kepercayaan pengundi sebagai pelapis kepemimpinan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, BN meraikan penyertaan calon muda daripada pelbagai parti dalam pilihan raya kerana ia perkembangan positif kepada proses demokrasi, namun parti itu mengutamakan calon yang sudah mendapat keyakinan pengundi berbanding calon yang masih perlu membina pengenalan dan sokongan dari awal.
“Mereka bukan sahaja datang dan bertanding untuk mewakili generasi pemimpin muda, tetapi mereka adalah pemimpin yang mempunyai pengalaman, sudah berkhidmat dan ada rekod prestasi.
“Kita raikan semua calon muda dan saya rasa semua orang patut diberi peluang. Namun, daripada pihak BN, kita selalu utamakan calon yang kita rasa sudah mendapat keyakinan dan kepercayaan penduduk setempat,” katanya.
Mengulas jangkaan kecenderungan pengundi muda untuk keluar mengundi, beliau berkata, fenomena bimbang ketinggalan serta penggunaan media sosial dalam kempen politik adalah perkembangan semasa yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, keterujaan golongan muda untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi adalah perkembangan positif, manakala tanggungjawab BN adalah menjelaskan tawaran parti yang disifatkan lebih baik untuk golongan berkenaan berbanding parti lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd