LATEST

Pengganti Anthony Loke: DAP serah sepenuhnya kepada PM

Pengganti Anthony Loke: DAP serah sepenuhnya kepada PM

essabuyamin@bh.com

Baca juga: Kerajaan tidak buat hutang untuk tampung perbelanjaan negara – Anwar

Kuala Lumpur: Penentuan calon pengganti Anthony Loke dalam barisan Jemaah Menteri diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, soal pelantikan menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan beliau adalah individu paling layak untuk membuat keputusan terbaik demi pentadbiran kementerian.

“Itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskannya. Soal pelantikan menteri adalah perkara yang berada di bawah budi bicara mutlak Perdana Menteri. Jadi, kita serahkan kepada beliau.

“Beliau yang lebih mengetahui dan beliau akan menentukan siapa yang dirasakan paling layak mengemudi kementerian dengan baik atau sama ada terdapat keperluan untuk melantik menteri baharu. Saya tidak tahu dan tidak boleh mengulas lanjut kerana ia di luar pengetahuan saya,” katanya pada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan serta laporan yang mengaitkan namanya sebagai calon utama untuk menggantikan Setiausaha Agung DAP itu.

Mengenai sama ada DAP sudah mengemukakan senarai nama calon atau diminta berbuat demikian oleh Anwar, Gobind yang juga Menteri Digital kekal dengan pendirian bahawa perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri

Terdahulu, Loke mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa susulan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dilaporkan membantah permohonan Badan Peguam Malaysia berkaitan isu tahanan rumah berkenaan di mahkamah, Gobind menegaskan pihaknya enggan campur tangan dan mahu proses perundangan berjalan sewajarnya.

“Setakat yang saya maklum dan baca hari ini, permohonan berkenaan sudah difailkan. Jadi, biarlah undang-undang mengambil prosesnya dan kita lihat apa yang berlaku selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news