LATEST
National

Istilah ‘discharge’ dan ‘release’ membawa kesan perundangan berbeza kepada Jabatan Penjara – Saifuddin Nasution

Istilah ‘discharge’ dan ‘release’ membawa kesan perundangan berbeza kepada Jabatan Penjara – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan sengaja melengahkan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Baca juga: Pengutip Hutang Cari Dr Fie, Nubhan Buat Laporan Polis

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keadaan itu berlaku apabila terdapat kekeliruan dalam perintah awal yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ini kerana, katanya, Jabatan Penjara sudah tiada kawal selia ke atas Najib sekiranya mahkamah mengeluarkan ‘Order of Discharge’ selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu membayar denda RM50 juta.

Beliau berkata, terdapat tafsiran berbeza bagi istilah ‘discharge’ atau dilepaskan dan ‘release’ atau bebas dari segi perundangan yang membawa implikasi berbeza.

“Jabatan Penjara sudah tiada kuasa jika mahkamah ‘discharge’ Najib selepas membayar denda tempoh hari. Sebaliknya, kita boleh terus tahan beliau di rumah jika mahkamah menggunakan terma ‘release’.

“Saya minta Komisioner Jeneral Penjara merujuk kekeliruan ini kepada penasihat undang-undang kerajaan iaitu Peguam Negara. Kami hanyalah pelaksana, bukannya pentafsir undang-undang.

“Ternyata selepas dibawa ke mahkamah, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi membatalkan ‘Discharge Order’, pada 6 November lalu, dan mengeluarkan perintah pembebasan bersyarat,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) mengenai penyelarasan pelaksanaan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Saifuddin Nasution berkata, penting bagi kerajaan menyelesaikan kekaburan pemahaman terma perundangan, selain tidak mengambil mudah kebimbangan dan kemarahan rakyat berhubung isu itu.

“Kita tak boleh ‘underestimate’ dan perlu mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan, tetapi kalau ini kita dianggap ingkar, derhaka dan melengah (pelaksanaan perintah tahanan di rumah).

“Kita pun tak boleh buat keputusan (tanpa pemahaman jelas). Kesetiaan kepada institusi diraja tidak bermakna kita boleh mengabaikan persoalan undang-undang.

“Mempertahankan undang-undang juga tidak bermakna kita mempertikaikan institusi diraja dan perkara ini mesti seiring,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution mengakui bersedia mengemukakan syor Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Tindakan itu, katanya, bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan perspektif menyeluruh berhubung prosedur pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib.

Beliau antara lain menyifatkan syor bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai baik, selain muncul sebagai tanggungjawab moral kerajaan memperjelaskan isu berbangkit dalam pelaksanaan perintah berkenaan.

“Ini idea baik dan saya boleh bawa cadangan Muar (Syed Saddiq) supaya minit Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan untuk memberi perspektif lebih tepat mengenai pelaksanaannya.

“Esok akan ada mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan bawa syor daripada Muar ini,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news