nuratikah@bh.com.my
Baca juga: JPV rampas 20 lembu cuba dipindah tanpa dokumen sah
Kuala Lumpur: Pembangkang mencabar kerajaan memecat semua menteri daripada DAP susulan tindakan pemimpin parti itu yang didakwa mempersoal keputusan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu wajar diambil susulan kenyataan menteri DAP yang sebelum ini mahu meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah.
“Kita tak pertikaikan keputusan mahkamah, apatah lagi perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seperti beberapa orang menteri daripada DAP yang secara tidak langsungnya mempertikaikan keputusan ‘Najib sampai rumah, aku letak jawatan’.
“Amboi engkau siapa? Kenapa engkau (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke) seorang saja letak jawatan? Kepada menteri-menteri DAP keluarkan (letak jawatan) semua.
“Atau kita cabar Perdana Menteri buang, bagi nasihat kepada Sultan Ibrahim supaya pecat semua menteri daripada DAP yang mempersoalkan titah diraja dalam pengampunan ini,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Setiausaha Agung DAP itu menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anwar pada 28 September lalu.
Loke mengumumkan hasrat meletak jawatan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada Selasa, Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, bagi menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Perintah pelepas baharu itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, selaras perkenan Sultan Ibrahim, yang menggantikan perintah dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi bertarikh 6 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd