LATEST

Kawal slip disc, Nabila Huda berhati-hati lakukan pergerakan

Kawal slip disc, Nabila Huda berhati-hati lakukan pergerakan

puterialia@hmetro.com.my

Baca juga: Empat sekatan dikenakan terhadap Najib sepanjang tahanan rumah – Saifuddin Nasution

Kuala Lumpur: Pelakon, Nabila Huda, 41, sentiasa melakukan pergerakan dalam keadaan berhati-hati bagi memastikan masalah sakit pada tulang belakang akibat slip disc yang belum pulih dapat dikawal.

Nabila atau lebih mesra disapa Abil berkata, dia kini tidak boleh berdiri dalam tempoh yang lama, selain sentiasa menyediakan selipar apabila memakai kasut tumit tinggi.

“(Masalah) slip disc masih ada lagi. Dia (sakit) masih ada di situ dan tak pergi mana-mana, cuma saya sudah pandai kawal. Bila saya berdiri lama sangat, saya akan duduk sebab tak boleh berdiri lama-lama.

“Kasut tumit tinggi pun, kalau saya pakai pergi mana-mana ‘event’, saya akan sediakan selipar. Pakai kasut tumit tinggi hanya untuk ambil gambar dan selepas itu saya tukar pakai selipar.

“Kasut tumit tinggi memang sekarang tak boleh pakai lama dan saya kena pakai yang tumit rendah dan kecil sahaja,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai komitmen kerjaya lakonannya di set penggambaran, pelakon filem Gayong itu mengakui dia bernasib baik kerana pihak produksi sering bertolak ansur dan menyediakan kemudahan kerusi untuknya berehat.

“Kalau berlakon, setakat ini okey sebab saya memang akan cari masa untuk duduk. Mereka sediakan kerusi, saya akan duduk. Saya akan duduk sekejap dan kemudian bangun.

“Tetapi sebab kita buat penggambaran yang lama, kadang-kadang kita mula penggambaran pukul 7 pagi dan pukul 3 pagi baru habis. Kalau badan saya digunakan secara berlebihan, esoknya memang saya tak boleh bangun,” katanya.

Ditanya sama ada dia berhasrat untuk menjalani pembedahan bagi merawat masalah slip disc itu, Nabila bagaimanapun memilih untuk tidak menjalani pembedahan kerana keadaannya yang masih boleh dikawal.

“Saya tak nak buat pembedahan sebab setakat ini ia tak teruk dan masih boleh dikawal. Cuma, bila sakit itu datang, itu yang saya tak boleh nak bangun.

“Setakat ini, sudah lama juga dia tak kena (sakit) dan saya pun ada buat regangan juga di rumah,” katanya.

Pada Julai lalu, Nabila berkongsi keadaannya yang sukar bergerak dan hanya terbaring di rumah sehingga memaksa dia berehat sementara di rumah sekali gus mengganggu rutin hariannya.

Sebelum ini, Nabila disahkan mengalami slipped disc pada bahagian L5 tulang belakangnya selepas menjalani pemeriksaan perubatan pada Disember tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news