LATEST

Tanah runtuh Paya Terubong: Mitigasi penstabilan cerun dijangka ambil masa hingga 5 bulan

Tanah runtuh Paya Terubong: Mitigasi penstabilan cerun dijangka ambil masa hingga 5 bulan

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ganjaran SHAKAM naik, prestasi atlet mesti meningkat

Georgetown: Kerja mitigasi kecemasan dan penstabilan cerun susulan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini, dijangka mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk diselesaikan.

Berikutan itu, penduduk empat rumah yang dikosongkan masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sebagai langkah keselamatan sehingga kerja-kerja berkaitan selesai sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, penduduk hanya dibenarkan kembali ke rumah selepas kerja mitigasi di Zon 1 selesai sepenuhnya serta mendapat pengesahan daripada Jurutera Geoteknikal.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sudah menerima dokumen penuh serta permohonan rasmi daripada Aptitude Consulting Engineers Sdn Bhd, semalam bagi menjalankan kerja mitigasi kecemasan dan penstabilan cerun di tapak pembinaan yang terbabit kejadian tanah runtuh itu.

“Susulan itu, pihak JKKP memberi kebenaran kepada Jurutera Awam pihak pemaju untuk melaksanakan kerja mitigasi, tertakluk kepada kelulusan dan kebenaran daripada agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya ketika memaklumkan perkembangan status terkini berhubung insiden itu menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, kerja mitigasi dibenarkan JKKP meliputi kerja mitigasi kecemasan saliran permukaan (ESCP) dan penstabilan cerun di kawasan runtuhan (Zon 1), selain kerja penstabilan pencegahan terhadap cerun potongan terdedah di tapak pembinaan.

Katanya, pihak pemaju dan kontraktor turut diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain semua peraturan, kehendak, peruntukan serta arahan daripada agensi-agensi lain yang berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas maut selepas bahagian belakang rumahnya ditimpa runtuhan tanah dalam kejadian di Taman Seri Rambai, Paya Terubong pada 25 Oktober lalu.

Mangsa, Dr Wong Kar Lin, 73, ditemukan tertimbus di bahagian dapur selepas kejadian dilaporkan kepada pasukan keselamatan pada jam 8.36 pagi.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengarahkan beberapa rumah bersebelahan dikosongkan serta-merta sebagai langkah keselamatan, selain arahan henti kerja terhadap projek yang dilaksanakan berhampiran lokasi turut dikeluarkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran sebelum ini dilaporkan berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan jalan raya dan pangsapuri yang sudah dilaksanakan lebih setahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news