LATEST

Ganjaran SHAKAM naik, prestasi atlet mesti meningkat

Ganjaran SHAKAM naik, prestasi atlet mesti meningkat

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: KPM agih 16,230 peranti pendidikan digital percuma kepada 257 sekolah sejak 2022

Kuala Lumpur: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan perlu disambut dengan peningkatan prestasi atlet, sekali gus membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap pembangunan sukan negara tidak disia-siakan.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, keputusan kerajaan menaikkan ganjaran itu wajar dihargai kerana penyediaan peruntukan besar bukan sesuatu yang mudah, terutama dalam keadaan kekangan kewangan.

Menurutnya, persatuan sukan juga perlu memahami bahawa peningkatan insentif berkenaan membabitkan jumlah atlet yang ramai dalam acara berpasukan, sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan lebih besar.

“Bukan mudah untuk kerajaan menyediakan peruntukan tersebut. Saya harap persatuan-persatuan lain juga perlu faham kerana kejayaan dalam acara berpasukan membabitkan jumlah atlet yang ramai.

“Kalau kita bandingkan apa yang kita terima daripada MSN dan KBS, jumlahnya sebenarnya melebihi apa yang kita dapat. Mungkin usaha dari segi program dan penganjuran tidak begitu kelihatan, tetapi saya nampak perkara itu,” katanya.

Nur Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta MSN atas keputusan menaikkan ganjaran bagi acara berpasukan.

Semalam, KBS mengumumkan kadar ganjaran pingat emas SHAKAM bagi acara berpasukan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.

Kali terakhir kadar ganjaran bagi acara berpasukan disemak adalah pada 2002, manakala kadar bagi acara individu pula melalui semakan pada 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news