Rantau Panjang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 4,000 anak pokok dipercayai berpenyakit bernilai RM200,000 ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Chabang Empat Salam, di sini.
Baca juga: ‘Minta penjelasan PM bukan babitkan istana’ – MB Johor
Dalam operasi jam 8 malam tadi, anggota Kompeni C, Batalion 7 PGA menahan lori untuk pemeriksaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata, pemeriksaan di bahagian belakang lori menemui sejumlah anak pokok Abiu yang disyaki berpenyakit.
Katanya, dua lelaki tempatan iaitu pemandu dan kelindan masing-masing berusia 35 tahun serta 23 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Lori digunakan dianggar bernilai RM150,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM350,000.
“Anak pokok Abiu berkenaan dipercayai dibawa dari sebuah nurseri di Rantau Panjang dan akan dihantar ke Pekan, Pahang. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima upah RM300 bagi setiap penghantaran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Menurutnya, operasi pemantauan dan pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Rantau Panjang akan terus dipergiatkan bagi mengesan sebarang anak pokok berpenyakit yang cuba dibawa keluar.
© New Straits Times Press (M) Bhd