MADRID: Pertempuran antara sekumpulan lelaki bertopeng dengan polis tercetus di Barcelona selepas puluhan ribu orang menyertai mogok umum pertama di Sepanyol dalam tempoh 14 tahun.
Mogok itu dianjurkan kesatuan sekerja utama negara itu bagi membantah krisis perumahan dan peningkatan kos sara hidup.
Baca juga: Elina bangkit hidupkan peluang ke separuh akhir
Kira-kira 120,000 orang menyertai demonstrasi di ibu negara Madrid, manakala lebih 50,000 lagi berhimpun di Barcelona.
Rakaman kejadian di Barcelona menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng membakar tong sampah dan memecahkan cermin kedai, manakala polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
Perkhidmatan pengangkutan dan kemudahan awam lain di seluruh Sepanyol turut mengalami gangguan serius akibat mogok berkenaan.
Sepanyol dijadual mengadakan pilihan raya Parlimen pada 29 November ini.
Ketua kesatuan sekerja UGT, Pepe Álvarez menyifatkan mogok itu berjaya dengan penyertaan yang amat besar, manakala pemimpin kesatuan CC OO, Unai Sordo berkata, jumlah peserta sangat memberangsangkan.
Kehadiran anggota polis dilihat meningkat di pusat bandar Barcelona pada malam Rabu, dengan anggota keselamatan memakai topi keledar dan membawa perisai rusuhan.
Beberapa insiden kekacauan berlaku di Passeig de Gràcia, berhampiran dataran ikonik Plaça de Catalunya di pusat bandar itu.
Kebakaran kecil berlaku di tengah jalan selepas tong sampah dibakar. Media tempatan melaporkan sekumpulan individu melempar bunga api ke arah polis dan merompak beberapa kedai, termasuk premis Lego.
Penunjuk perasaan turut dilihat cuba memasuki kedai Apple.
Terdahulu, aktiviti di sekitar Madrid dan Barcelona turut terjejas teruk apabila trafik di beberapa jalan utama terpaksa dihentikan.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan puluhan individu ditahan atas pelbagai kesalahan, manakala laporan media tempatan menyebut beberapa agensi hartanah turut menjadi sasaran serangan.
Mogok itu tercetus susulan bantahan meluas terhadap masalah mendapatkan kediaman mampu milik dan peningkatan kos sara hidup, selepas seorang wanita berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal diusir dari sebuah flat di Madrid yang didiaminya selama tujuh dekad.
Warga emas itu meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.-AGENSI
The post Mogok umum cetus rusuhan, kekacauan di Barcelona appeared first on Utusan Malaysia.