am@hmetro.com.my
Baca juga: Tidak wajar BN desak bubar Parlimen
Georgetown: Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) secara bersyarat antara Pulau Pinang dan Perak mengagihkan risiko kewangan bernilai berbilion ringgit secara adil, di samping menjamin rizab bekalan penting, demikian ditegaskan pihak berkuasa negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, tindakan membaca klausa secara berasingan daripada BWSA bersyarat itu, menimbulkan tanggapan salah kononnya ia perjanjian sebelah pihak.
Menurutnya, Perjanjian antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP) itu bermatlamat membekalkan 300 hingga 500 juta liter sehari (JLS) air terawat untuk tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun.
“Caj kapasiti berjumlah RM8.4 bilion selama 40 tahun – purata RM210 juta setahun – berfungsi sebagai bayaran ketersediaan tertunda bagi loji khusus 500 JLS yang dibina sepenuhnya untuk Pulau Pinang.
“PAIP bertanggungjawab mengumpul dana pembiayaan dan menanggung risiko pembinaan. PBAPP tidak membuat sebarang bayaran pendahuluan atau sumbangan modal,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan alternatif penyahgaraman (desalination) 300 JLS pula akan menelan belanja melebihi RM25 bilion bagi jangka hayat operasi yang hanya separuh daripadanya.
Mengulas kebimbangan disuarakan lima pengarah yang membantah dalam Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd, Zairil menjelaskan caj bekalan berjumlah RM16.2 bilion daripada nilai keseluruhan RM24.6 bilion, hanya terpakai kepada air yang benar-benar dibekalkan serta menepati piawaian kualiti.
“Sekiranya PAIP membekalkan air kurang daripada yang dipersetujui atau gagal memenuhi piawaian kualiti, mereka perlu membayar ganti rugi jumlah tertentu (liquidated damages) kepada PBAPP bagi setiap meter padu yang kurang,” katanya.
Beliau menambah, pengecualian, seperti “klausa kepentingan negeri” Perak, mencerminkan kontrak perkongsian pengeluaran petroleum standard bagi melindungi rizab negeri tuan rumah semasa krisis teruk.
Selain itu, gangguan bekalan berterusan yang melebihi tiga bulan akan mencetuskan rundingan semula mandatori dan bukannya liabiliti secara tiba-tiba, dengan PBAPP mengekalkan hak untuk menamatkan perjanjian serta menuntut ganti rugi sekiranya pelanggaran kontrak gagal diperbetulkan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng menerusi Facebook mempersoalkan terma kewangan berat sebelah dalam perjanjian air berkenaan, yang mendorong lima daripada 12 pengarah dalam lembaga PBA Holdings mengundi membantah perjanjian bekalan air pukal dianggarkan bernilai RM24.6 bilion itu.
Bekas ketua menteri itu menuntut ketelusan penuh demi 1.8 juta penduduk Pulau Pinang.
Beliau menyasarkan “klausa tanpa salah” (no-fault clause) yang didakwa amat berpihak kepada Perak.
Penentangan dalam bilik Lembaga Pengarah itu didedahkan dalam pekeliling kepada pemegang saham yang diserahkan kepada Bursa Malaysia pada 27 Oktober lalu.
Ditandatangani pada 17 Julai 2026 bersama PAIP di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS), perjanjian 40 tahun itu yang bermula dari 2032 hingga 2072, mengandungi klausa penamatan awal yang membebankan.
Lim menegaskan bahawa Perak mengekalkan hak kontrak mutlak untuk mengutamakan keperluan domestik, industri, dan pertanian negerinya berbanding kuota Pulau Pinang, tanpa dikenakan sebarang penalti atau ganti rugi.
Sambil mempersoalkan sama ada pemimpin negeri dan PBA Holdings melanggar tanggungjawab fidusiari terhadap orang awam, Guan Eng memberi amaran bahawa tindakan mengikat Pulau Pinang untuk membayar harga penuh bagi air yang tidak diterima, bakal menjejaskan kestabilan kewangan negeri serta generasi akan datang dengan teruk.
© New Straits Times Press (M) Bhd