LATEST

Paya Rumput medan uji kekuatan Azman

Paya Rumput medan uji kekuatan Azman

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang terletak di bawah Parlimen Tangga Batu merupakan antara kawasan yang mempunyai sejarah perubahan sokongan politik yang menarik.Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, kerusi ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan majoriti 4,259 undi, sebelum beralih kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti jauh lebih kecil iaitu 629 undi.Bagaimanapun, pengagregatan keputusan PRU15 2022 pada peringkat DUN memperlihatkan konfigurasi sokongan berbeza apabila PH memperoleh 13,353 undi berbanding PN 11,088 undi dan BN sebanyak 7,752 undi.Walaupun angka ini bukan keputusan pilihan raya DUN sebenar, ia menunjukkan corak persaingan Paya Rumput berubah merentasi tiga pilihan raya.Pada PRN kali ini, pertandingan kembali berubah apabila BN tidak mempertahankan kerusi tersebut, sebaliknya memberikan laluan kepada calon Pas, Rafie Ahmad melalui kerjasama BN–PN.Penyertaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) melalui calonnya, Abdul Rashid Abu Bakar pula menjadikan pertandingan tiga penjuru dengan konfigurasi politik berbeza daripada 2021.Satu perkembangan menarik ialah penampilan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai calon PH dengan agenda Aspirasi Paya Rumput yang mengandungi empat teras pembangunan meliputi infrastruktur dan keselamatan, pemerkasaan ekonomi komuniti, kesejahteraan kediaman serta pembangunan generasi muda.Justeru, Paya Rumput wajar dilihat sebagai kerusi yang mempunyai sejarah persaingan kompetitif, dengan perubahan pola pengundian, pertambahan pemilih dan penyusunan semula gabungan politik sebagai pemboleh ubah utama.Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, terdapat tiga dimensi utama perlu diberikan perhatian dalam memahami persaingan kali ini.”Pertama ialah sejauh mana tawaran pembangunan yang dikemukakan menerusi Aspirasi Paya Rumput mempunyai hubungan dengan masalah sebenar masyarakat.”Manifesto politik bukan sahaja perlu dinilai berdasarkan jumlah janji atau projek yang diumum tetapi juga kesesuaian penyelesaian, kemampuan pelaksanaan serta institusi yang bertanggungjawab.”Misalnya masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di Paya Rumput melibatkan beberapa agensi kerajaan yang berbeza. Maka, hubungan antara perancangan dasar, penyelarasan institusi dan pelaksanaan projek merupakan ukuran yang penting,” katanya kepada Sinar Harian.Selain itu katanya, perubahan hubungan antara pengundi dengan gabungan politik.Pada 2018, calon Bersatu bertanding dan menang atas tiket PH. Pada 2021, Bersatu berada dalam PN, manakala pada 2026, Pas mewakili kerjasama BN–PN di Paya Rumput.Jelasnya, perubahan ini menjadikan sejarah sokongan Bersatu relevan untuk memahami penyusunan semula pengundian.Peralihan undiJusteru, secara strategiknya, PH memerlukan peralihan undi dari pengundi teras Bersatu bagi meningkatkan kebolehmenangan di DUN Paya Rumput.”Ketiga ialah kehadiran Bersama yang diwakili Abdul Rashid, bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan. Penyertaan beliau menambah satu lagi dimensi persaingan dalam kelompok politik yang mempunyai sejarah hubungan dengan gerakan reformasi.”PH juga wajar memastikan agar tidak berlaku ketirisan atau kebocoran undi yang signifikan kepada Bersama,” ujar beliau.Ditanya tentang potensi Azman, beliau menjelaskan bahawa latar belakangnya mempunyai nilai tambah yang substantif, khususnya apabila melihat keperluan pembangunan Paya Rumput yang melibatkan penyelarasan pelbagai agensi dan peringkat kerajaan.Menurutnya, Azman bukan sekadar memegang jawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, tetapi juga mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri pasaran modal, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mempunyai kelulusan Professional MBA daripada Universiti Teknologi Malaysia.Jelasnya, gabungan pengalaman profesional, pentadbiran kerajaan negeri dan pentadbiran Persekutuan ini memberikannya pengetahuan tentang bagaimana sesuatu keputusan dasar dirumuskan, proses pentadbiran berfungsi serta hubungan antara kementerian dan agensi diselaraskan.”Ini mempunyai kaitan dengan karakter Paya Rumput sendiri yang merangkumi kawasan kampung, perumahan separa bandar dan kawasan perindustrian yang sedang berkembang.”Sebagai contoh, penyelesaian banjir memerlukan koordinasi antara Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri.”Pembangunan perumahan pula melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala pembangunan ekonomi komuniti memerlukan hubungan dengan institusi pembiayaan, agensi keusahawanan dan industri.”Pengalaman Azman dalam pasaran modal dan pengurusan pentadbiran memberikan asas profesional relevan kepada proses penyelarasan tersebut,” jelasnya.Pada masa sama, beliau melihat kedudukan Azman sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri membolehkannya memahami saluran komunikasi dan tatacara pentadbiran Persekutuan.Azman sendiri sebelum ini pernah menyatakan kelebihan pengalaman tersebut turut diterjemahkan beliau menerusi tawaran pembangunan yang lebih dekat dengan keperluan penduduk setempat.Beliau menyatakan hasil tinjauan sepanjang kempen mendapati beberapa kemudahan awam seperti dewan terbuka masih diperlukan sehingga penduduk terpaksa menggunakan ruang surau atau sekolah untuk mengadakan program dan aktiviti komuniti.Justeru, beliau berhasrat memanfaatkan hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan bagi membantu mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur awam, termasuk menyediakan kemudahan berkenaan.Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, perebutan undi Melayu menjadi antara faktor penting yang bakal menentukan keputusan di kawasan itu, sekali gus menjadikan Paya Rumput sebagai medan persaingan kritikal kepada semua calon.Menurutnya, gabungan sentimen Biru-Hijau yang dibawa BN-PN berpotensi memberikan cabaran kepada PH, khususnya dalam usaha meyakinkan pengundi terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.Bagaimanapun, cabaran utama Azman bukan sekadar menjelaskan pencapaian kerajaan di peringkat Pusat, tetapi bagaimana beliau mampu membina hubungan dan mendapatkan penerimaan masyarakat setempat.  

Latest news