am@hmetro.com.my
Baca juga: Tak boleh dibiarkan! PM Anwar kecam warga asing tetak tangan anggota polis hingga putus
Gua Musang: Polis menahan seorang lelaki disyaki membawa tujuh individu dipercayai warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan sah dalam sebuah kenderaan di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.50 pagi oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Katanya, pasukan rondaan menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz dalam keadaan mencurigakan dipandu seorang lelaki dengan tujuh penumpang dipercayai warga asing.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang dipercayai warga Myanmar, terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan berusia antara 17 hingga 39 tahun.
“Kesemua tujuh penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Choon Foo berkata, polis menahan pemandu dan kesemua penumpang bagi membantu siasatan serta merampas kereta jenis Perodua Aruz dan telefon bimbit untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing terbabit di sekitar Pasir Mas untuk dibawa ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM300 bagi setiap individu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang terbabit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin masuk melalui sempadan tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melindungi, membawa atau membantu mana-mana pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sah. Katanya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan itu hendaklah disalurkan kepada balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd