LATEST
National

JAC T9, trak pikap PHEV pertama CKD

JAC T9, trak pikap PHEV pertama CKD

KUALA LUMPUR: Evolvelectric Motors Sdn Bhd tampil dengan trak pikap plug-in hybrid (PHEV) pertama versi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia menerusi JAC T9 PHEV Petrol.

Baca juga: Hutang negara, hubungan pelaburan Malaysia-Taiwan tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Model itu dilancarkan menerusi dua varian iaitu standard pada harga RM154,888 dan ADVENTURE pada RM162,888, dengan kedua-duanya tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Pengenalan JAC T9 PHEV Petrol menyaksikan syarikat itu memasuki segmen kenderaan elektrifikasi dengan menawarkan trak pikap yang menggabungkan enjin petrol, sistem pacuan elektrik dan 4WD.

JAC T9 PHEV Petrol dikuasakan enjin petrol turbo 2.0 liter yang digandingkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) elektrik dwi-motor serta transmisi hibrid 4DHT, menghasilkan kuasa gabungan 360kW dan tork maksimum 1,000Nm.

Motor elektrik hadapan menghasilkan kuasa 130kW dan tork 300Nm, manakala motor belakang menghasilkan 150kW dan 340Nm, dengan sistem berkenaan dipadankan bateri litium besi fosfat (LFP) 31.2kWj daripada Gotion High-Tech.

Bateri berkenaan membolehkan JAC T9 PHEV Petrol bergerak sehingga 100 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya berdasarkan kitaran pemanduan Eropah Baharu (NEDC), selain menawarkan penggunaan bahan api sekitar 1.6 liter bagi setiap 100 kilometer menurut pengeluar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun, model itu menyasarkan pelanggan yang memerlukan kenderaan serba boleh untuk kegunaan perniagaan dan keluarga.

“JAC T9 PHEV bukan sekadar sebuah trak pikap. Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang dimilikinya menawarkan kapasiti cas sehingga 15kW, membolehkannya berfungsi sebagai stesen janakuasa mudah alih,” katanya.

Dari aspek praktikaliti, trak pikap itu menawarkan kapasiti tunda dengan brek sehingga 3,500 kilogram serta keupayaan meredah air sehingga 550mm.

Ia turut menyediakan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Standard dan Sport serta lima mod pemanduan untuk keadaan jalan berbeza.

JAC T9 PHEV Petrol turut dilengkapi Sistem Bantuan Termaju (ADAS) 2.0, termasuk Kawalan Melayar Adaptif, Brek Kecemasan Automatik, Pengesanan Titik Buta dan Monitor Pandangan Sekeliling 360-darjah, selain menerima penarafan lima bintang ANCAP.

Untuk pengecasan, bateri boleh dicas daripada 15 hingga 80 peratus dalam kira-kira 30 minit menggunakan pengecas DC, manakala pengecasan AC mengambil masa antara 3.5 hingga 5.5 jam.

Model itu ditawarkan dengan waranti kenderaan tujuh tahun atau 150,000 kilometer, manakala bateri EV dilindungi selama lapan tahun atau 150,000 kilometer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news