ABU DHABI: Russia dan Ukraine bersetuju melaksanakan pertukaran besar-besaran tahanan perang selepas rundingan damai selama dua hari di Abu Dhabi berakhir semalam.
Baca juga: ‘Minta penjelasan PM bukan babitkan istana’ – MB Johor
Bagaimanapun, pengantara Amerika Syarikat (AS) berkata, kedua-dua pihak masih berbeza pendirian dalam beberapa isu utama termasuk wilayah.
Dalam rundingan pertama antara kedua-dua negara selepas sembilan bulan, Russia dan Ukraine mencapai persetujuan secara prinsip untuk bertukar tahanan perang, dengan jumlah mereka akan ditentukan kemudian.
Utusan AS, Jared Kushner, berkata pertukaran baharu itu bakal menjadi pembebasan tahanan atas dasar kemanusiaan terbesar sepanjang perang yang berlarutan lebih empat tahun itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, pula menyifatkan skala pertukaran berkenaan sebagai isu penting.
Kedua-dua negara mengakui terdapat kemajuan dalam rundingan di Abu Dhabi dan bersetuju meneruskan perbincangan, namun tiada kejayaan konkrit lain diumumkan selepas pertemuan yang diusahakan AS itu.
Kushner yang juga menantu Presiden AS, Donald Trump, berkata pengantara sedang berusaha mengetengahkan kepentingan kedua-dua pihak bagi menamatkan konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jalan ke arah perdamaian dapat dicapai.
Walaupun Trump secara terbuka menyuarakan keyakinan, masih belum ada petunjuk mengenai sebarang kompromi besar dalam isu utama selepas lebih empat tahun perang tercetus susulan pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine.
Kyiv berulang kali menolak tuntutan Presiden Russia, Vladimir Putin, supaya Ukraine menyerahkan keseluruhan wilayah timur Donbas sebagai syarat mencapai perdamaian.
Memandangkan rundingan berhubung isu wilayah masih menemui jalan buntu, pengantara AS cuba mengalihkan perbincangan kepada jaminan keselamatan dan usaha pembinaan semula selepas perang.
“Realitinya, tiada kepercayaan antara kedua-dua pihak ketika ini dan keadaan itu boleh dijangka selepas konflik seperti ini,” kata Kushner.
Beliau berkata, rundingan turut menyentuh isu wilayah yang disifatkannya sebagai perkara paling sukar untuk diselesaikan.
“Saya fikir ini satu langkah pertama yang baik,” katanya.
Kushner berkata, beliau bersama seorang lagi utusan AS, Steve Witkoff, akan berlepas ke Moscow pada Khamis untuk mengadakan pertemuan dengan Putin.
Mereka juga akan membangkitkan cadangan supaya rakan sekutu Eropah dilibatkan dalam rundingan berkenaan kerana, menurut Kushner, negara itu perlu berada di meja rundingan.
Utusan AS itu kemudian dijadualkan ke Ireland untuk bertemu Zelenskiy yang akan menghadiri pertemuan pemimpin Eropah di negara berkenaan.
Ketika bercakap kepada media di Dublin semalam, Zelenskiy berkata, Ukraine memberi tumpuan kepada usaha mencapai kemajuan dalam perjanjian damai menjelang akhir tahun ini.
“Segala-galanya banyak bergantung kepada bentuk dialog antara pihak AS dan Russia esok… Saya percaya AS juga amat penting untuk mencapai hasil tahun ini berdasarkan perkembangan yang sedang kita saksikan,” katanya.
Russia dan Ukraine yang saling menuduh antara satu sama lain melancarkan serangan sepanjang malam walaupun rundingan damai berlangsung di Abu Dhabi.
Pegawai Ukraine berkata, Russia menyerang enam pencawang elektrik di bahagian tengah negara itu, manakala serangan ke atas sebuah pasar di wilayah Odesa mengorbankan tiga orang.
Di Russia, serangan dron Ukraine mengorbankan seorang penduduk di wilayah Belgorod, menurut pegawai tempatan. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd