Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM70 juta bagi penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada bulan lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan tersebut merangkumi kos penyelenggaraan litar serta operasi SIC, manakala perbelanjaan lain ditanggung oleh Bahrain.
Baca juga: Russia, Ukraine setuju pertukaran tahanan perang
Menurut beliau, keseluruhan kos penganjuran perlumbaan berprestij itu di Malaysia dianggarkan berjumlah RM350 juta, termasuk yuran hak penganjuran dan persediaan litar.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat Formula One Management (FOM), acara berkenaan berjaya memberikan impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.
“Berdasarkan maklumat daripada Formula One Management (FOM), penganjuran F1 berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.
“Ia merangkumi sektor perhotelan, pelancongan, penerbangan antarabangsa, pengangkutan, barangan dan perkhidmatan, makanan dan minuman, operasi litar serta program Litar Rasa MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan mengenai kos sebenar yang ditanggung kerajaan dan agensi berkaitan bagi penganjuran F1 berkenaan.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq memaklumkan acara tersebut turut mewujudkan kira-kira 7,300 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Daripada jumlah itu, sebanyak 6,167 peluang pekerjaan melibatkan sektor perniagaan dan perkhidmatan kepada pengunjung, diikuti operasi serta infrastruktur perlumbaan (757) dan pasukan perlumbaan, penaja serta operasi F1 (376).
“Selain itu, kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa turut membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan sepanjang acara berlangsung,” katanya.
Tambah beliau, laporan terperinci mengenai impak ekonomi penganjuran F1 itu akan disediakan menerusi kajian yang sedang dijalankan oleh firma perunding dilantik SIC.
Sumber: Harian Metro (Nor ‘Asyikin Mat Hayin)
