LATEST
National

JPV rampas 20 lembu cuba dipindah tanpa dokumen sah

JPV rampas 20 lembu cuba dipindah tanpa dokumen sah

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menggagalkan cubaan penyalahgunaan permit pemindahan lembu hasil serbuan di Kampung Surau Haji Daud, di sini, semalam.

Baca juga: Russia, Ukraine setuju pertukaran tahanan perang

Ketua Penguat Kuasa Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah, berkata pihaknya menyita 20 lembu yang dibawa dalam sebuah lori.

Beliau berkata, sepasang suami isteri berusia 45 dan 38 tahun turut ditahan.

Katanya, kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama lebih sebulan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai modus operandi pemindahan ternakan mencurigakan.

Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan membawa 20 lembu dengan dokumen pemindahan yang menyatakan lokasi penghantaran tertentu.

“Bagaimanapun, kita mengesan ternakan itu dihantar ke lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam permit.

“Pihak kami mula mengesyaki taktik itu ketika mengekori kenderaan itu dari kawasan Lebuhraya Sekati di sini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan ke atas permit, pihaknya percaya lembu berkenaan dibawa masuk dari negeri jiran.

Katanya, kes seumpama itu pernah dikesan pada 2023 dan kembali berulang.

“Pemindahan ternakan tidak mematuhi syarat permit boleh meningkatkan risiko penularan penyakit haiwan.

“Terengganu masih berdepan wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) sejak September lalu selain pernah dilanda penyakit bruselosis.

“Disebabkan situasi itu, pihak kami memperketatkan beberapa peraturan bagi memastikan keselamatan industri ternakan di negeri ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news