Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Najib hanya boleh menerima tetamu dengan izin bertulis. Kebenaran bertulis juga diperlukan sekiranya individu di luar kalangan ahli keluarga mahu tinggal bersamanya.
Baca juga: Skandal intip Prabowo: Bukti awal wujud unsur khianat
“Najib tidak dibenarkan tinggal bersama seseorang yang lain selain daripada ahli keluarga kecuali dengan kebenaran bertulis.
“Dalam masa sama Najib tidak boleh dedahkan, libatkan diri dalam majlis keramaian jauh sekali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik,” katanya pada sidang Parlimen, Khamis.
Saifuddin berkata, sekiranya Najib melanggar mana-mana syarat tahanan rumah, beliau akan segera dihantar semula ke Penjara Kajang atau penjara lain yang ditetapkan.
“Jadi kita sudah menjangkakan perkara seperti itu. Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan jika langgar segera dikembalikan ke penjara,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu. Susulan keputusan itu, Najib diperintah menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula perintah terdahulu dan mendapatkan perintah pelepasan baharu.
Sumber: Sinar Harian (Roskhoirah Yahya)