LATEST

Pengutip hutang tagih RM2 juta , Nubhan Ahmad buat laporan polis

Pengutip hutang tagih RM2 juta , Nubhan Ahmad buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nubhan Ahmad mendedahkan, dia telah membuat laporan polis selepas mendakwa kediamannya didatangi beberapa individu yang mengaku sebagai pengutip hutang sebelum menuntut wang berjumlah lebih RM2 juta.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 40, berkata, laporan polis itu dibuat demi memastikan keselamatan dirinya, anak-anak serta ahli keluarga susulan kejadian yang berlaku pada 23 Oktober lalu.

Baca juga: Mangsa banjir Selangor, Perak terus meningkat

Menurutnya, insiden berkenaan merupakan perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan, justeru dia mengambil keputusan untuk mendedahkannya kepada umum.

“Pengutip hutang datang pada 23 Oktober 2026. Perkara ini sangat serius. Saya mengambil keputusan untuk memberitahu sekarang kerana merasakan perkara ini tidak boleh didiamkan.

“Jumlah yang diminta adalah lebih RM2 juta,” katanya.

Nubhan berkata, dia turut mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi meneliti tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Saya sudah membuat laporan polis demi keselamatan anak-anak, keluarga dan diri sendiri.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika membabitkan keluarga, saya tidak akan berkompromi. Saya juga sudah berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Nubhan memaklumkan kediamannya didatangi beberapa individu yang mendakwa mereka pengutip hutang.

Individu terbabit turut mendakwa sedang mencari bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang lebih dikenali sebagai Dr. Fie.

The post Pengutip hutang tagih RM2 juta , Nubhan Ahmad buat laporan polis appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news