LATEST

Tangan anggota polis putus: Prosedur sambung pergelangan tangan 8 jam

Tangan anggota polis putus: Prosedur sambung pergelangan tangan 8 jam

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pengutip hutang tagih RM2 juta , Nubhan Ahmad buat laporan polis

Kuala Lumpur: Pergelangan tangan kanan seorang anggota polis yang putus akibat dilibas dengan parang oleh lelaki warga asing malam tadi, berjaya disambung semula menerusi satu pembedahan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber berkata, prosedur penyambungan semula tangan mangsa selesai dilakukan jam 8.40 pagi hari ini.

Mangsa berusia 26 tahun yang juga anggota polis Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berpangkat Lans Koperal cedera diserang lelaki warga asing di pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.

Suspek bagaimanapun maut ditembak polis ketika dia cuba ditahan di lokasi berhampiran taman permainan pada 8 malam tadi.

Sumber berkata, doktor pakar menjalankan pembedahan terhadap mangsa di dewan bedah utama HKL antara tempoh lapan hingga 10 jam.

Bagaimanapun, tahap pemulihan tangan mangsa masih belum dapat dipastikan sama ada boleh berfungsi sepenuhnya seperti sedia kala atau sebaliknya.

Mangsa masih ditempatkan di wad pembedahan HKL bagi pemantauan lanjut.

Mangsa pada mulanya dikejarkan ke Hospital Selayang, Gombak, Selangor, menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan pakar dengan segera.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada kepala dan badan.

Sementara itu, Public Health Malaysia melalui kenyataannya di laman Facebook memaklumkan kejayaan menyambung tangan itu memberikan harapan besar kepada mangsa dan keluarganya walaupun masih belum menerima kenyataan rasmi.

Pihak terbabit memaklumkan, prosedur menyambung semula tangan yang terputus bukanlah pembedahan biasa.

“Dalam perubatan, prosedur ini dikenali sebagai replantasi atau replantation surgery.

“Pakar bedah bukan sekadar menyambung tulang dan menjahit kulit. Mereka perlu membaiki salur darah yang sangat halus, saraf, tendon dan struktur lain menggunakan teknik mikrosurgeri.

“Bekalan darah perlu dipulihkan secepat mungkin kerana tisu yang terlalu lama tidak menerima oksigen berisiko mengalami kerosakan kekal,” katanya.

Menurutnya, walaupun anggota tangan itu berjaya disambung, pesakit masih perlu melalui pemantauan rapi dan proses rehabilitasi yang panjang.

“Kejayaan pembedahan tidak semestinya bermakna fungsi tangan akan kembali sepenuhnya.

“Di sebalik semua ini, ada satu perkara yang sangat wajar kita hargai. Ketika kebanyakan kita sedang berehat bersama keluarga, ada anggota polis yang mempertaruhkan keselamatan diri untuk melindungi masyarakat.

“Ada petugas kecemasan yang berusaha menyelamatkan nyawa.

“Dan ada pasukan doktor, jururawat serta petugas dewan bedah yang bekerja berjam-jam untuk memberikan peluang kedua kepada seorang pesakit.

“Inilah kekuatan sistem kesihatan awam kita,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news