am@hmetro.com.my
Baca juga: Cantik Bukan Sekadar Glowing! Ini 5 Perkara Yang Islam Tekankan
Hulu Selangor: Satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, di sini, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor, pagi tadi.
Penemuan ini sekaligus menjadikan enam mayat mangsa ditemukan setakat petang ini manakala dua lagi masih hilang.
Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui kira-kira jam 10.15 pagi sebelum dibawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini turut memberi tumpuan di Sektor A susulan pengesanan bau dipercayai daripada mangsa di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, dua anjing pengesan (K9) digerakkan ke kawasan itu yang terletak berhampiran lokasi empat mangsa ditemukan kelmarin.
“Pasukan SAR menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan petang semalam selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk Orang Asli yang melalui lokasi itu ketika pulang dari kebun.
“Ketika tinjauan, kita memang mengesan bau secara berselang-seli di kawasan berkenaan, namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa.
“Operasi SAR hari ini bermula jam 7 pagi dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor bagi memperluas kawasan pencarian,” katanya tadi.
Ashrul Riezal berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari kawasan Lata Jebus hingga ke PKTK di Tapak Berkelah Sungai Pertak, manakala anggota JBPM, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menumpukan pencarian dari Sektor B hingga C, berhampiran Empangan Sungai Selangor.
“Lima bot turut digerakkan bagi memantau keadaan sungai dan melakukan pembersihan permukaan air di Sektor C dan D susulan lambakan sampah yang dihanyutkan arus selepas kejadian kepala air kedua petang semalam, selain penggunaan dron bagi tinjauan udara meliputi kawasan sepanjang kira-kira 3.5 kilometer,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.
Seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada jam 1.30 pagi kelmarin di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus, manakala empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari lokasi berkenaan.
Dalam kejadian itu, 34 individu daripada empat kumpulan dengan lapan lelaki dihanyutkan arus manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri serta ada yang diselamatkan anggota bomba.
Lata Jebus dipercayai adalah lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.
© New Straits Times Press (M) Bhd