JAKARTA – Wakil Presiden (Wapres) Indonesia, Gibran Rakabuming Raka meletak jawatan pada Khamis ketika kontroversi berhubung kelayakan akademiknya terus mencetuskan tekanan politik terhadap kedudukannya.Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Ahmad Muzani mengesahkan Gibran, 39, menyerahkan surat pengundurannya kepada Presiden Prabowo Subianto selain mengemukakan dokumen sama kepada pihaknya.Menurut Muzani, pimpinan MPR akan membincangkan perkara itu bagi menentukan tindakan selanjutnya susulan keputusan Gibran untuk berundur.Kemelut itu berlaku ketika Gibran berdepan desakan supaya berundur susulan pertikaian mengenai sijil kelayakan pendidikan sekolah menengah atas (SMA) yang digunakan bagi memenuhi syarat pencalonannya pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.Kontroversi itu semakin meruncing selepas beberapa keputusan mahkamah berkaitan dokumen akademiknya mencetuskan persoalan mengenai kredibiliti beliau untuk memegang jawatan tertinggi negara.Keputusan Mahkamah Agung (MA) yang membatalkan surat pengesahan kesetaraan pendidikan SMA miliknya turut mencetuskan desakan supaya Gibran disingkirkan.Pada Rabu, seramai 120 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada lapan parti politik dilaporkan menandatangani usul yang membuka laluan kepada proses pemecatannya.Mengikut Perlembagaan Indonesia, kekosongan jawatan Wapres perlu diisi melalui pemilihan oleh MPR dalam tempoh 60 hari selepas jawatan itu dikosongkan. Bagi tujuan itu, Presiden perlu mengemukakan dua calon untuk dipilih oleh MPR sebagai pengganti.Gibran sebelum ini dipilih sebagai pasangan regu Prabowo pada Pilpres 2024. Beliau merupakan anak sulung bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang turut memainkan peranan penting dalam perjalanan politik bekas Datuk Bandar Surakarta itu.Ketika ketidaktentuan politik melanda negara itu, nilai mata wang rupiah, merosot ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan spekulasi menjelang peletakan jawatan Gibran, manakala Indeks Bursa Saham Indonesia meningkat 2.2 peratus. – AgensiInfo>Gibran mencipta sejarah sebagai individu termuda pernah memegang jawatan wakil presiden Indonesia.>Selepas dua tahun memegang jawatan itu, ada pihak mempertikaikan kelayakannya lalu membawa perkara itu ke mahkamah bagi mencabar sijil tamat sekolah menengah atas (SMA) miliknya yang merupakan antara syarat untuk memegang jawatan tersebut.>Gibran menamatkan persekolahannya di Singapura sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang pemasaran di negara itu.>Ketika mengemukakan pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pada 2024, beliau menyertakan sijil yang menyatakan kelayakan pendidikan luar negaranya setaraf dengan pendidikan sekolah menengah vokasional di Indonesia.>Pada bulan lalu, Mahkamah Agung (MA) memutuskan untuk membatalkan kesahan dokumen itu, sekali gus mencetuskan langkah pemecatannya.
MPR sahkan Gibran letak jawatan
Malay News | https://www.malay.news/mpr-sahkan-gibran-letak-jawatan/