LATEST

Tangan Lans Koperal Theirry berjaya disambung selepas 8 jam pembedahan

Tangan Lans Koperal Theirry berjaya disambung selepas 8 jam pembedahan

PETALING JAYA: Pergelangan tangan seorang anggota polis yang putus akibat diserang seorang warga asing ketika menjalankan penugasan di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, berjaya disambungkan semula selepas lapan jam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran atas perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan Lans Koperal Theirry Rodger anak Fendy, hari ini.

Baca juga: Tembakau kunyah RM2.64 juta, sitaan terbesar KPDN

Beliau juga merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terlibat dengan pembedahan tersebut.

“Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini.

“Syabas juga diucapkan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Dzulkefly berkata, dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara.

“Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin (multidisiplin) di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Lans Koperal Thierry atas keberanian dan pengorbanannya mempertahankan keselamatan awam.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk memastikan saudara (Lans Koperal Thierry) terus menerima rawatan rapi yang menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.

“Sama-sama kita terus mendoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna, dan semoga ahli keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian berat ini. Terima kasih PDRM (Polis Diraja Malaysia), terima kasih wira-wira kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Tangan Lans Koperal Theirry berjaya disambung selepas 8 jam pembedahan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news