LATEST

Penahanan rumah Najib: Menteri, timbalan menteri DAP wajar letak jawatan jika berprinsip

Penahanan rumah Najib: Menteri, timbalan menteri DAP wajar letak jawatan jika berprinsip

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ismail sah rundingan krisis adat di peringkat UMNO selesai

Jasin: Dua lagi menteri penuh dan beberapa timbalan menteri daripada DAP wajar mengikut jejak langkah Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke, meletakkan jawatan dalam kerajaan jika benar-benar mahu membuktikan parti itu berpegang teguh kepada prinsipnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sememangnya pendirian berprinsip.

Namun, pada masa sama ia seolah-olah mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP membangkitkan isu tahanan rumah Najib dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sedangkan keputusan berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri itu, sudah dibuat menerusi proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau Loke boleh letak jawatan, dua lagi menteri dan beberapa timbalan menteri DAP yang lain pun patut mempunyai prinsip yang sama, letak jawatan.

“Mereka sebenarnya sudah menunjukkan belang apabila Loke berhenti. Betul, dia berprinsip tetapi dalam masa sama, bagi saya dia mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas menyertai kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar di Taman Seri Chinchin di sini, hari ini.

Selasa lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

Peletakan jawatan itu dibuat selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Bagaimanapun, Loke sebelum ini menegaskan DAP tetap menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun parti itu mempunyai pendirian berbeza terhadap keputusan berkenaan.

“DAP menggunakan isu ini tetapi secara tidak sedar, apa yang mereka lakukan bercanggah dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu orang Melayu terutamanya dan mereka yang patuh kepada Perlembagaan patut sedar siapa DAP sebenarnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news