LATEST

Kualiti penerbitan jadi tarikan penaja ke FFM35

Kualiti penerbitan jadi tarikan penaja ke FFM35

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Baca juga: Sinner susut berat badan selepas buang tonsil

Damansara Damai: Berbaki seminggu lagi berlangsungnya acara kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) pada 21 November ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) semakin lega dengan jumlah penajaan diterima.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya memperoleh banyak penajaan daripada pihak berminat untuk bersama menjayakan temasya berprestij bagi meraikan penggiat seni dan karya filem terbaik Malaysia.

“Sebenarnya susah untuk mendapatkan penaja utama bagi penganjuran FFM pada tahun-tahun sebelum ini. Tetapi, kenapa FFM35 kali ini FINAS terima banyak ‘sponsor’ kerana mengambil kira pembaikan dilakukan daripada penganjuran FFM, terdahulu.

“Rating (tontonan) tahun lalu telah naik sangat tinggi, dan juga kualiti penerbitan pada malam kemuncak anugerah adalah satu kejayaan hebat bagi kita, termasuk maklum balas diterima daripada industri sangat bagus tentang FFM34 lalu.

“Jadi, menjadi hasrat berterusan FINAS untuk cuba memperbaiki lagi bagi penganjuran FFM35, tahun ini. Apabila jumlah tontonan ada, dan ‘branding’ pun ada, maka penaja datang untuk menjalin kerjasama. Ini memang ‘standard SOP’ dalam sektor korporat,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Hans ditemui pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik FINAS dengan penyedia teknologi global, HONOR serta Tourism Malaysia di Dewan Panca Delima, Menara FINAS di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saiffudin Mutalib; Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Zuraini Abd Ghani dan Ketua Bahagian Jualan HONOR Malaysia, Tan Pei Ling.

Ditanya mengenai persiapan bagi penganjuran FFM35 yang akan berlangsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur ini, Hans berkata lebih 80 peratus sudah siap, dan hanya tinggal bahagian teknikal yang perlu diuruskan.

Berbicara mengenai keputusan pemenang yang mungkin mencetus sensasi, Hans berkata itu perkara biasa sering berlaku dalam majlis anugerah, dan perlu diingat ia keputusan dibuat oleh pihak juri.

“Walaupun FINAS adalah penganjur, tetapi saya sendiri memang tidak tahu siapa pemenang dipilih oleh juri, sehinggalah majlis kemuncak itu berlangsung. Jadi, FINAS sama sekali tidak terbabit dalam penentuan pemenang.

“Harapan saya agar pemenang FFM35 yang berjaya untuk semua kategori dipertandingkan mengikut pilihan dibuat oleh juri itu diterima baik kerana proses penilaian sudah dilakukan secara telus,” katanya.

Hans berkata, apapun sudah dapat dirasakan betapa meriah penganjuran FFM35 ini yang pasti bangku IB akan dipenuhi kira-kira 1,400 tetamu daripada kalangan penggiat seni dan pemain industri yang bertanggungjawab mengangkat perfileman Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news