KUALA LUMPUR: Enam penyanyi dari Indonesia dan Malaysia bakal berkongsi pentas menerusi Ruang Nyaman Fest yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, di sini, Sabtu ini.
Baca juga: ‘Empat tahun terpisah dengan keluarga, bapa lega sebaik tiba di rumah’ – Nooryana Najwa
Festival muzik indoor anjuran Thrive Events itu menampilkan Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J dan Pusakata dari Indonesia, selain penyanyi tempatan, Najmi Niery.
Diasaskan oleh Haqimi Zamri, festival berkenaan menghimpunkan enam artis dalam satu hari tanpa persembahan pengisi atau fillers, sekali gus membolehkan peminat menikmati enam persembahan utama menerusi satu tiket.
Cakra yang terkenal dengan vokal serak bakal menghiburkan peminat menerusi lagu popular seperti Harus Terpisah, Kekasih Bayangan dan Mencari Cinta Sejati.
Turut beraksi ialah bekas vokalis Kerispatih, Sammy Simorangkir yang dikenali menerusi lagu Kesedihanku, Tak Mampu Pergi dan Dia, selain beberapa karya popular kumpulan itu seperti Tapi Bukan Aku, Mengenangmu dan Bila Rasaku Ini Rasamu.
Generasi baharu muzik Indonesia pula diwakili Idgitaf menerusi lagu Sedia Aku Sebelum Hujan, Satu-Satu dan Takut, manakala Kaleb J dikenali menerusi It’s Only Me, Kebutuhan Hati dan Now I Know.
Melengkapkan barisan artis Indonesia ialah Pusakata yang diterajui Mohammad Istiqamah Djamad atau Is, bekas vokalis Payung Teduh.
Selain menyampaikan karya bersama Pusakata seperti Ruang Tunggu, Kehabisan Kata dan Taifun, Is turut bakal membawakan lagu popular Payung Teduh yang pernah dihasilkannya, antaranya Akad, Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan dan Di Atas Meja.
Malaysia pula diwakili Najmi Niery yang mendapat perhatian menerusi single sulung, Dekati yang mencatat lebih lima juta strim di Spotify.
Pengasas Ruang Nyaman, Haqimi Zamri berkata, festival itu diwujudkan sebagai platform untuk peminat menikmati persembahan artis pilihan dalam suasana indoor yang selesa dan eksklusif.
“Ruang Nyaman Fest bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pengalaman muzik indoor yang premium, selesa dan padat.
“Kami memilih enam artis yang mempunyai karya dan identiti tersendiri tanpa persembahan pengisi supaya penonton memperoleh pengalaman terbaik dari awal hingga akhir,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events, Hamka Mohd Taufik berkata, konsep festival itu membolehkan peminat menikmati enam persembahan utama menerusi satu tiket pada harga lebih berpatutan berbanding menghadiri beberapa konsert solo secara berasingan.
Penyertaan Cakra turut menjadi perhatian selepas penyanyi itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk berehat daripada mengadakan persembahan di Malaysia.
Bagaimanapun, Cakra berkata, konsep festival dan peluang berkongsi pentas dengan barisan pemuzik yang dihormatinya mendorong beliau menerima tawaran berkenaan.
“Selepas mengumumkan untuk berehat daripada membuat persembahan di Malaysia, saya mahu lebih berhati-hati dalam memilih acara. Namun, konsep Ruang Nyaman Fest, barisan pemuziknya dan peluang untuk kembali bertemu peminat Malaysia terlalu menarik untuk saya lepaskan,” katanya.
Tiket berharga RM249 hingga RM1,699 boleh didapati menerusi platform MyTicketEmpire.
© New Straits Times Press (M) Bhd