LATEST

Finland sekat visa atlet Rusia selagi perang Ukraine berterusan

Finland sekat visa atlet Rusia selagi perang Ukraine berterusan

Helsinki: Finland mengambil langkah menyekat pengeluaran visa kepada atlet Rusia dengan menegaskan mereka tidak mempunyai kepentingan untuk memasuki negara itu selagi perang di Ukraine masih berterusan.

Baca juga: Palace pecat Sage, Frank jadi pilihan

Keputusan itu diumumkan kerajaan Finland pada Khamis menerusi satu resolusi yang memperketatkan syarat kemasukan rakyat Rusia yang memohon visa kerja jangka pendek, termasuk bagi tujuan sukan profesional.

Menteri Luar Finland, Elina Valtonen berkata, kehadiran atlet Rusia di negara itu boleh menjejaskan hubungan antarabangsa Finland ketika konflik antara Rusia dan Ukraine masih belum berakhir.

“Selagi perang pencerobohan Rusia berterusan, atlet Rusia tidak mempunyai urusan di Finland. Kemasukan mereka ke negara ini akan menjadi ancaman kepada hubungan antarabangsa Finland,” katanya dalam satu kenyataan.

Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 16 November ini, susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membuka ruang kepada pasukan hoki ais lelaki dan wanita Rusia untuk kembali menyertai Kejohanan Dunia tahun depan.

Keputusan CAS itu mendorong kerajaan Finland mempercepatkan pelaksanaan sekatan berkenaan bagi mengawal kemasukan atlet Rusia ke negara tersebut.

Kementerian Luar Finland turut mendakwa Rusia menggunakan sukan sebagai alat propaganda untuk menyokong matlamat perang pencerobohan yang dianggap tidak sah di Ukraine.

“Rusia menggunakan sukan sebagai alat propaganda dan berusaha memanfaatkan sukan untuk mempromosikan matlamat perang pencerobohannya yang tidak sah,” menurut kenyataan kementerian itu.

Menerusi peraturan baharu berkenaan, rakyat Rusia hanya dibenarkan bekerja menggunakan visa Schengen bagi tugas yang dianggap penting kepada kepentingan negara Finland.

Sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, beberapa badan sukan antarabangsa mengenakan sekatan terhadap penyertaan atlet negara itu dalam kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, terdapat badan sukan yang mula melonggarkan sekatan berkenaan, termasuk membuka peluang kepada pasukan hoki ais Rusia untuk kembali beraksi di pentas dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Finland bersama Denmark, Norway, Sweden dan Republik Czech turut menyatakan pendirian tidak akan menentang Rusia pada Kejohanan Dunia Hoki Ais 2027 yang dijadual berlangsung di Jerman.

Untuk rekod, Finland sebelum ini sudah mengenakan sekatan perjalanan terhadap rakyat Rusia sejak 2022 dengan melarang kemasukan bagi tujuan yang tidak penting.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news