MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya mengutamakan integriti dan kejujuran dalam memilih pemimpin bagi memastikan amanah diberikan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Baca juga: Untung bersih Master Tec suku ketiga meningkat 27.46 peratus
Menurut Perdana Menteri seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan keperibadian, rekod perkhidmatan serta keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab, bukannya dipengaruhi persepsi dan sentimen tertentu.
Pemimpin dipilih juga, katanya perlu mempunyai prinsip, bersih daripada rasuah serta tidak mengambil kesempatan terhadap kedudukan yang diamanahkan kepada mereka.
“Angkatlah Melayu yang baik! Angkatlah Melayu yang bersih, yang tak rasuah, yang tak sakau, boleh tak?
“Kamu dimainkan sentimen (sampai) tidak boleh berfikir dengan waras, hilang akidah kamu, hilang nilai kamu, hilang akhlak kamu. Tak boleh menilai orang,” katanya pada ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH turut membangkitkan situasi di mana individu yang menjalankan tanggungjawab dengan baik dikecam, manakala mereka yang melakukan kesalahan dan penindasan pula dipuja sebagai satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Orang baik dikecam, dianggap penghasut, dianggap pemecah perpaduan, dianggap alat… yang jahat, yang rasuah, yang menindas dipuja, ” katanya.
Beliau menegaskan kepimpinan yang baik tidak bermaksud sesebuah negara itu bebas daripada masalah, sebaliknya setiap kelemahan perlu diakui dan diperbaiki secara berterusan.
Katanya, masih terdapat pelbagai isu rakyat yang belum diselesaikan dan kerajaan perlu terus berusaha mencari jalan mengatasinya tanpa mendakwa segala-galanya sudah sempurna.
“Apakah mereka puas hati? Apakah saya rasa puas hati? Tidak. Apakah ada masalah lagi yang belum selesai? Ya. Apakah orang Melayu semua senang? Tak. Orang Cina, orang India ramai yang masih ada masalah. Kita lakukan dengan sebaiknya, baiki.
“Kita bukan takbur mengatakan, ‘Oh it’s a perfect country’, no! Tetapi bicaralah dengan ikhlas, dengan jujur,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, keutamaan dalam kepimpinan adalah memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil membawa kebaikan kepada rakyat serta tidak diselewengkan demi kepentingan pihak tertentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd