HANG TUAH JAYA: Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak bermakna kedua-dua gabungan itu perlu mengorbankan prinsip khususnya dalam perkara membabitkan dosa, permusuhan dan rasuah.
Baca juga: Hubungan Malaysia-China perlu dimanfaatkan sebaiknya, tingkat eksport – Anwar
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata prinsip berkenaan perlu terus dipertahankan meskipun parti-parti terbabit menjalin muafakat politik.
Katanya, kerjasama dibentuk perlu berlandaskan perkara kebaikan dan bukannya membabitkan perkara yang bertentangan dengan prinsip dipegang bersama.
“Muafakat dalam apa keadaan sekalipun, kita ada prinsip dan kita dokong bersama PN dan BN prinsip tersebut.
“Tolong bantu dalam perkara baik dan takwa kepada Allah. Tidak boleh tolong bantu dalam perkara permusuhan dan perkara dosa. Prinsip ini kita dukung bersama,” katanya pada ceramah Pentas Grand Finale BN dan PN PRN Melaka, di sini, malam ini.
Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Seong; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata, PN khususnya PAS tidak sepatutnya dipersalahkan berhubung keputusan berkenaan.
Katanya, PN tidak mempunyai wakil dalam Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan berkaitan perkara itu.
“… yang ada dalam Lembaga Pengampunan ialah pengerusi, Menteri Wilayah Persekutuan daripada DAP, betul tak?
“Yang di-Pertuan Agong telah buat keputusan bukan membebaskan Datuk Seri Najib. Beliau terus ditahan di penjara, cuma daripada penjara dipindahkan kepada penjara dalam rumah,” katanya.
Mengulas peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, beliau mempersoalkan tindakan itu sekiranya benar dibuat atas prinsip, sedangkan anggota Kabinet lain tidak mengambil tindakan sama.
“Sebab itu kita cabar kalau betul prinsip DAP, prinsip yang dikatakan ini prinsip DAP Anthony Loke letak jawatan atas prinsip, kita cabar semua ahli anggota Kabinet letak jawatan!
“Bukan hanya Setiausaha Agung letak jawatan, Menteri Wilayah pun kena letak jawatan, seluruh anggota Kabinet letak jawatan!” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi menjadikan PRN Melaka sebagai referendum rakyat untuk menolak Pakatan Harapan (PH).
“Kita mesti buktikan PRN Melaka ni sebagai satu referendum rakyat untuk menolak PH. Gelombang biru Melaka akan menjadi pemangkin kepada kemenangan besar dalam PRU ke-16,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd