am@hmetro.com.my
Baca juga: Bomba usung turun pendaki wanita pengsan akibat disengat lebah
Shah Alam: Bekas Pengarah UKMShape, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1.55 juta.
Datuk Muhammad Husin, 64, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa terbabit dalam 21 transaksi pengubahan wang haram berjumlah RM1,552,645.69 antara 2022 hingga 2026.
Wang berkenaan didakwa hasil daripada kesalahan menggunakan kedudukan ketika berkhidmat sebagai Pengarah UKMShape, untuk kepentingan serta pembelian aset peribadi.
Kesalahan asal itu dikaitkan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Semua pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Adam Danial daripada Tetuan A M Zaharil & Co.
Mahkamah mengambil kira jaminan RM80,000 serta syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd