LATEST

Iman mahu mangsa buli berani tampil bersuara

Iman mahu mangsa buli berani tampil bersuara

am@hmetro.commy

Sebelum namanya dikenali, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa penyanyi, Iman Troye pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahannya.

Baca juga: Najeeb dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif ABF

Bukan sekadar dihambur dengan kata-kata negatif, malah kata Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, dia juga tidak memiliki ramai kawan di sekolah.

“Saya ada baca banyak kes buli di sekolah sekarang dan tipu kalau kita tak pernah kena buli di sekolah.

“Saya pun pernah kena buli di sekolah menengah dulu dan saya juga sedar macam mana rasa dibuli. Saya pun tak tahu kenapa dibuli, tapi biasalah bila ada orang yang suka dan tak suka pada kita di sekolah.

“Saya dibuli secara lisan dengan ejekan dan tidak ada ramai kawan di sekolah,” katanya pada majlis pembukaan cawangan baharu sebuah vjenama pakaian wanita, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Iman, dia menganggap insiden dibuli di sekolah menengah itu tidak seteruk rakan lain kerana ia tidak membabitkan buli secara fizikal.

“Saya tidak respons sangat bila dibuli kerana ia tidak seteruk orang lain, tapi saya sedih sebab tidak ada kenangan manis masa zaman sekolah dulu.

“Tapi, bila dibuli, saya jadi lebih fokus pada diri sendiri dan sertai aktiviti termasuk wakil sekolah dan sebagainya,” katanya.

Apa pun, kata Iman, dia juga mahu meningkatkan kesedaran kepada orang ramai supaya mangsa buli tidak berdiam diri dan beritahu perkara itu kepada rakan, ibu bapa dan pihak sekolah.

“Kalau anda rasa persekitaran di sekolah itu toksik dan cikgu juga tidak berbuat apa-apa, minta ibu bapa untuk tukar sekolah.

“Orang yang dibuli selalunya dia makin hilang keyakinan diri, jadi saya rasa cikgu dan ibu bapa main peranan sangat penting dalam menangani isu ini.

“Ada juga kawan saya yang kena buli dan saya juga ‘stand up’ untuk mereka dan beritahu kepada cikgu sebab kadang-kadang orang yang kena buli tak berani nak bersuara,” katanya yang juga duta dan ikon pusat peningkatan akademik untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak lebih enam tahun.

Selepas bergelar selebriti, Iman mengakui dia juga tidak dapat mengelak apabila berdepan dengan buli siber di media sosial, tetapi menanganinya dengan cara yang positif.

Kata penyanyi yang meledak dengan lagu Teman dan Kemboja itu, dia juga pernah terasa hati apabila membaca komen negatif di media sosial.

“Saya suka baca komen di media sosial, tapi bila fikir balik kenapa saya nak terasa hati komen negatif? Jadi, saya lebih suka melihat komen dari sudut positif dan mungkin ada perkara yang saya kena perbetulkan dan mana yang tiada kena-mengena itu, saya tolak tepi.

“Saya suka baca komen di media sosial mungkin kerana ada perkara yang saya boleh perbaiki diri, mungkin orang sekeliling kita tak berani tegur. Bila baca komen pengikut yang cakap Iman macam ini, macam itu, saya cuba ubah mana yang boleh ke arah kebaikan.

“Ada saja orang cakap perkara buruk, tapi mulut orang kita tak boleh nak kawal, jadi kita cuba kawal apa yang kita boleh iaitu diri kita sendiri,” katanya.

Pada masa sama, kata Iman, dia lebih memilih laman TikTok untuk berkongsi perkembangan karier seninya.

“Saya selalu baca komen di TikTok sebab orang selalu komen apa yang saya muat naik di situ,” katanya.

Katanya, dia juga suka membaca pelbagai gosip di Threads yang dianggap toksik oleh segelintir pihak, tetapi tidak suka membalas komen.

Lagu raya tahun depan

Dalam pada itu, Iman memberitahu dia kini dalam proses untuk pembikinan lagu raya baharu pada tahun depan.

“Susah sikit sebab sekarang tengah ‘perah’ idea lagi untuk lagu raya baharu itu.

“Perancangan bingkisan album penuh tiada lagi dan kalau nak keluarkan album pun mungkin album raya pada awal tahun depan.

“Kalau single baharu pula, mungkin saya akan lancarkan single genre ballad atau pop nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news