LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel tampil mempertahankan Ben White selepas pertahanan itu diejek penyokong ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-1 ke atas Croatia pada aksi Liga Negara-Negara di Wembley, awal pagi tadi.
Baca juga: ‘Masalah sebenar negara bukan DAP, tetapi pemimpin Melayu tiada prinsip’ – Anwar
Tuchel memberitahu pemberita bahawa beliau tidak mendengar ejekan berkenaan, yang berbeza dengan tepukan gemuruh diberikan kepada penyerang veteran Croatia, Luka Modric ketika meninggalkan padang, seperti dilaporkan secara meluas oleh media yang hadir.
Pemain Arsenal itu membuat penampilan pertama bersama England sejak Mac lalu selepas tidak terpilih ke Piala Dunia akibat kecederaan. Sebelum ini, dia juga pernah diejek penyokong selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi mewakili skuad kebangsaan.
White meninggalkan kem latihan England di Piala Dunia 2022 di Qatar lebih awal atas sebab peribadi sebelum mengambil keputusan tidak mahu dipilih untuk baki tempoh Gareth Southgate sebagai pengurus England, yang berakhir selepas Euro 2024.
“Saya tidak mendengar ejekan terhadap Ben dan saya fikir kita sudah melepasi episod itu,” kata Tuchel selepas perlawanan yang menyaksikan kapten England, Harry Kane meraikan penampilan ke-126 bersama skuad kebangsaan dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti.
“Saya berharap perkara itu tidak berulang. Dia pemain kami. Sejak saya mengambil alih tugas, dia benar-benar mahu kembali dan bersama kumpulan ini. Dia tidak melakukan sebarang kesilapan sejak saya mengendalikan pasukan.
“Saya hanya boleh menilainya berdasarkan apa yang saya lihat dan pengalaman bersama dengannya, dan prestasinya berada pada tahap tertinggi. Dia benar-benar mampu membantu kami memenangi perlawanan,” kata jurulatih dari Jerman itu.
“Seperti yang saya katakan, dia sebahagian daripada kumpulan kami dan kami akan melindungi setiap anggota pasukan. Dia layak berada bersama kami,” katanya.
Tuchel berkata beliau tidak bimbang White akan sekali lagi mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada skuad kebangsaan sekiranya reaksi negatif penyokong berterusan.
“Saya tidak fikir begitu. Saya tidak mahu membesarkan perkara ini. Pada pandangan saya, dia sentiasa menunjukkan komitmen, dedikasi dan teruja untuk menyertai kem latihan serta menerima panggilan mewakili negara.
“Tiada sebab untuk kita meragui komitmen atau semangatnya. Dia pernah mengatasi ejekan itu sebelum ini dan saya sendiri tidak mendengarnya kali ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd