Milan: Zinedine Zidane tidak berpuas hati dengan persembahan benteng pertahanan pasukannya selepas mengalami kekalahan pertama selaku ketua jurulatih Perancis apabila tewas kepada Itali pada aksi awal pagi tadi, namun menyifatkan keputusan itu sebagai ‘sebahagian daripada proses’.
Baca juga: Tuchel tampil bela White selepas dicemuh penyokong
Skuad Les Bleus mendahului permainan menerusi jaringan Michael Olise di San Siro untuk mencerahkan peluang mereka mara ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA, namun kelebihan itu dipadamkan menerusi dua gol Francesco Pio Esposito dan satu jaringan Davide Frattesi.
Itali mula menguasai permainan pada babak kedua selepas kedua-dua pasukan terikat ketika rehat, meskipun skuad kendalian Zidane mendominasi sebahagian besar aksi babak pertama.
Jaringan Frattesi hadir tiga minit selepas Sebastiano Esposito gagal menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Perancis sekali lagi dihukum dengan sepakan penalti yang disempurnakan adiknya, Francesco Pio Esposito, sekali gus meletakkan perlawanan di luar jangkauan pasukan pelawat.
“Kami bermula dengan baik dan menguasai permainan ketika memiliki bola, tetapi pada babak kedua kami berdepan kesukaran, terutama dari segi pertahanan,” kata Zidane pada sidang media.
Ketika ditanya sama ada pasukannya kekurangan keberanian, beliau menjawab: “Tidak. Kami terus memberikan saingan dan bermain dengan baik ketika menguasai bola, terutama pada babak pertama. Namun, pada babak kedua kami sedikit hilang arah, khususnya selepas ketinggalan 1-2. Ini sebahagian daripada proses.”
Perancis dua kali dinafikan jaringan selepas percubaan mereka terkena palang dan tiang gol selain menguasai 60 peratus permainan serta melakukan 18 percubaan dalam aksi menarik itu.
Kekalahan berkenaan menyaksikan Perancis jatuh ke tangga kedua Kumpulan A1 di belakang Itali berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Zidane akan melayan kunjungan Turkiye yang masih gagal mengutip sebarang mata setakat ini dalam aksi terakhir kumpulan pada Isnin ini, manakala Itali pula bertandang ke Belgium yang ketinggalan satu mata di tangga ketiga.
“Perkara paling penting adalah mencipta peluang. Percubaan yang terkena tiang dan palang memang memberi kesan, tetapi saya tidak kecewa.
“Saya hanya akan kecewa jika kami gagal menguasai permainan dengan baik. Apa yang perlu kami analisis adalah mengapa kami tidak berada pada tahap sepatutnya ketika tidak menguasai bola,” kata Zidane.
© New Straits Times Press (M) Bhd