LATEST
National

Carrick sebak tinggalkan United

Carrick sebak tinggalkan United

MANCHESTER: Michael Carrick dilaporkan menitiskan air mata ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pemain Manchester United selepas dipecat daripada jawatan pengurus kelab itu selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan.

Baca juga: Shila Amzah membesar bersama ABPBH

Bekas pemain tengah United berusia 45 tahun itu dipanggil menghadiri pertemuan di pusat latihan Carrington sebelum dimaklumkan mengenai penamatan tugasnya. Carrick dan barisan kejurulatihannya dilaporkan bakal menerima pampasan berjumlah 5 juta pound (RM27 juta).

Menurut laporan media antarabangsa, pemecatan itu turut menyaksikan perbelanjaan United untuk membayar pampasan pengurus sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013 meningkat melebihi 100 juta pound (RM541 juta).

“Dia menangis ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pemain. Dia pada dasarnya hanya berkata, ‘Saya sudah tiada, kawan-kawan’, sebelum bersalaman dengan beberapa pemain, masuk ke kereta dan beredar,” kata sumber yang dipetik SunSport.

Kedudukan Carrick semakin terancam selepas United hanya mencatat satu kemenangan daripada 11 perlawanan sehingga menyebabkan kelab itu terjerumus ke zon penyingkiran.

Malah, beliau dikatakan sudah menjangkakan pemecatan sejak Isnin lalu apabila Mauricio Pochettino dilaporkan menjadi sasaran utama pengurusan kelab.

Walaupun menyedari kedudukannya semakin goyah, Carrick tetap hadir ke pusat latihan sepanjang rehat antarabangsa untuk membimbing pemain yang masih berada di Manchester.

Laporan itu turut mendakwa sebahagian besar pemain masih memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimanapun, bilik persalinan United dikatakan tidak berpuas hati dengan perancangan perpindahan musim panas yang didakwa gagal menyediakan skuad lebih seimbang.

Kelab itu membelanjakan 155 juta pound (RM838 juta) untuk mendapatkan Youri Tielemans, Andrey Santos dan Carlos Baleba bagi menggantikan Casemiro, namun gagal membawa masuk Lewis Hall sebagai pilihan di posisi bek kiri.

Kegagalan memperkukuh beberapa posisi turut mencetuskan ketegangan apabila Lisandro Martinez secara terbuka mempersoalkan pengurusan kelab selepas kekalahan 1-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara bulan lalu.

Martinez kemudian memohon maaf, namun insiden itu dilaporkan menyebabkan pihak kelab mengarahkan pemain membatalkan majlis makan malam bersama pasangan masing-masing di restoran Cibo, Hale, Cheshire.

Carrick sebelum itu dikatakan memberitahu pemain bahawa kelemahan skuad akan ditangani pada jendela perpindahan Januari. Namun, sebahagian pemain masih tidak berpuas hati dengan ketua eksekutif Omar Berrada dan pengarah bola sepak Jason Wilcox.

Ketegangan turut memuncak selepas kapten Bruno Fernandes mengkritik pendekatan taktikal Carrick susulan kekalahan 1-4 kepada Como dalam saingan Liga Juara-Juara. Carrick kemudian membalas dengan menegaskan pemain tetap perlu bekerja keras tanpa mengira pendekatan taktikal yang digunakan.

Menurut sumber yang dipetik SunSport, Fernandes tidak bersetuju dengan perubahan taktikal yang diperkenalkan Carrick bersama pembantunya, Steve Holland pada awal musim ini, malah beberapa pemain lain turut mahu pasukan kembali menggunakan pendekatan lama.

Carrick bagaimanapun tetap mempertahankan prinsipnya ketika pasukan bergelut mencari kemenangan sebelum akhirnya kehilangan jawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news